'Beri tempoh 48 jam'
DEHRADUN - Pasukan penyelamat India memberi petunjuk bahawa operasi membawa keluar 40 lelaki yang terperangkap dalam terowong runtuh selama seminggu, mungkin mengambil masa dua hari lagi.
Sejak pagi Ahad, jengkaut telah mengalihkan serpihan untuk mencipta laluan baharu bagi membolehkan pekerja keluar daripada terowong yang dibina mereka di negeri Uttarakhand, Himalaya.
Ketika ini, usaha menyelamat bergerak perlahan akibat runtuhan susulan ketika proses membersihkan terowong itu.
Pada Rabu, tentera udara menerbangkan mesin penggerudi kedua menggunakan pesawat C-130 ke lokasi kejadian.
Pada masa sama, jurutera sedang menyiapkan paip keluli selebar 90 sentimeter melalui serpihan untuk membenarkan mangsa terperangkap dapat keluar dari terowong itu.
"Jika kerja menyelamat dapat diteruskan pada keadaan ini, ia akan mengambil masa 40 hingga 48 jam untuk menyelamatkan mangsa," kata ketua penyelamat, Deepak Patil.
Difahamkan, pasukan penyelamat telah berkomunikasi dengan mangsa menggunakan radio dan makanan, air, oksigen serta ubat juga telah dihantar kepada pekerja yang terperangkap melalui paip selebar 15 sentimeter.
Setakat ini, tiada butiran rasmi diberikan mengenai keadaan pekerja itu, tetapi media tempatan melaporkan segelintir mereka mengalami sakit perut, muntah dan kegelisahan melampau.
Terdapat enam katil lapangan disedikan di luar tapak lokasi manakala ambulans bersiap sedia mendahkan mangsa ke hospital berdekatan.
Terowong sepanjang 4.5 kilometer sedang dibina di antara bandar Silkyara dan Dandalgaon bagi menghubungkan Uttarkashi dan Yamunotri. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!