Ramai remaja di Malaysia alami 'kemurungan digital'

Dr Chooi (kiri) menegaskan ibu bapa berperanan penting dalam mengawal penggunaan gajet anak-anak agar mereka tidak terjerumus dengan masalah kemurungan digital.
Dr Chooi (kiri) menegaskan ibu bapa berperanan penting dalam mengawal penggunaan gajet anak-anak agar mereka tidak terjerumus dengan masalah kemurungan digital.
A
A
A

GEORGE TOWN - Isu 'kemurungan digital' yang membelenggu golongan remaja pada masa kini semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua lapisan masyarakat.

Penggunaan teknologi digital secara berlebihan termasuk ketagih melayari aplikasi sosial dan penstriman hiburan antara punca generasi muda terjebak dengan masalah itu hingga mengakibatkan kualiti dan kesihatan mental terjejas.

Masalah kemurungan digital ini diburukkan lagi oleh fenomena seperti Fear of Missing Out (FoMO)' dan 'unrealistic beauty standards' atau piawaian kecantikan yang tidak realistik hingga membuatkan seseorang hilang motivasi dan rendah diri.

Fenomena FOMO ini bukan sahaja bermaksud untuk sentiasa mengikuti trend terkini malah ia turut berkaitan dengan rasa penat akibat penggunaan digital secara berlebihan.

Seterusnya, dalam konteks piawaian kecantikan yang tidak realistik, kita harus sedar bahawa penggunaan 'filter' atau alat untuk menyunting gambar untuk kelihatan lebih cantik mungkin dianggap sebagai perkara biasa dan tidak berbahaya.

Kajian daripada Fakulti Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melaporkan bahawa 21.5 peratus daripada 461 pelajar sekolah menengah kebangsaan di Malaysia mempunyai jumlah skor Children Depression Inventory (CDI) tidak mencapai kadar kebimbangan yang normal.

Dr Bahiyah (empat dari kiri) bersama tetamu jemputan selepas melancarkan kempen 'Reboot' untuk kesihatan digital di USM, pada Jumaat.
Dr Bahiyah (empat dari kiri) bersama tetamu jemputan selepas melancarkan kempen 'Reboot' untuk kesihatan digital di USM, pada Jumaat.

Selain itu, kajian juga mendapati penggunaan internet yang kerap mempunyai kaitan yang ketara dengan kemurungan.

Artikel Berkaitan:

Perkara ini turut diperincikan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM dalam kajiannya ketika pandemik yang mendapati bahawa media sosial mempengaruhi tahap kemurungan khususnya golongan remaja.

Bagi membentuk semula perspektif, merapatkan jurang serta menyokong perubahan positif dalam kalangan masyarakat terutama golongan belia dalam berdepan masalah itu, komuniti akedemik Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan kempen 'Reboot' untuk kesihatan digital yang dilaksanakan oleh pelajar Komunikasi Pemujukan bagi tahun 2023/2024.

Pengarah projek, N Elangkoven Nair berkata, statistik yang diperoleh melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendapati 5.6 juta remaja di negara ini berdepan masalah kemurungan dan separuh daripadanya berpunca di sebalik kemajuan digitalisasi pada masa kini.

Menurutnya, kempen 'Reboot' merupakan mekanisme awal pencegahan terhadap kesan negatif akibat penggunaan teknologi digital secara berlebihan, terutamanya isu kemurungan digital.

"Kempen ini juga mensasarkan belia dalam lingkungan umur 13 hingga 29 tahun malah, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, menggalakkan tabiat penggunaan digital yang lebih sihat dan mendorong penggunaan teknologi yang bertanggungjawab," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada pelancaran kempen itu di The Bricks USM di sini, pada Jumaat.

Hadir menyempurnakan pelancaran, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Dr Bahiyah Omar.

Mengulas lanjut, Elangkoven berkata kempen 'Reboot' mengetengahkan empat objektif utama iaitu meningkatkan kesedaran mengenai kemurungan digital, menggalakkan pengesanan awal terhadap simptom kemurungan, memecahkan stigma mengenai kesihatan mental serta meningkatkan penggunaan digital yang bertanggungjawab denga bertindak mencari bantuan.

Jelasnya, objektif kempen ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih informatif dalam kalangan belia dan remaja.

"Kempen ini turut memberi penekanan terhadap empat mesej utama termasuklah mengenali simptom kemurungan digital serta menyokong penggunaan media digital dan media sosial yang seimbang.

"Selain itu, kempen ini juga dapat mendorong perbincangan terbuka mengenai kesihatan mental dan tabiat penggunaan digital, serta menyediakan sumber dan sokongan penting untuk mereka yang terjebak dalam masalah kemurungan digital.

"Justeru, kempen ini diharapkan dapat membentuk khalayak yang lebih cakna berkenaan isu kemurungan digital, sekaligus meningkatkan kesejahteraan mental,"tambahnya lagi.

Sementara itu, Pensyarah kanan Psikologi daripada Pusat Pengajian Sains Sosial USM, Dr Chooi Weng Tink berkata, isu kemurungan digital ini bukan sahaja akan memberi kesan terhadap produktiviti serta kualiti kehidupan seharian malah mengundang lebih banyak impak negatif termasuk kepada pembangunan negara.

Jelasnya, emosi, spiritual dan rohani yang terganggu mengakibatkan mereka tidak dapat menumpukan dengan baik terhadap pelajaran, hubungan persahabatan dan kekeluargaan serta tekanan lain hingga boleh mengalami gangguan mental.

"Memang kita tidak dapat menghalang golongan muda untuk menggunakan segala kemajuan teknologi yang ada pada masa ini, malah ia amat mustahil kerana kini kebanyakan rutin harian memerlukan gajet dan menggunakan digital.

"Namun ia perlu dikawal dan digunakan secara bijak, pemantauan serta ketegasan ibu bapa amat perlu bagi memastikan anak-anak tidak menjadi 'hamba' kepada teknologi,"katanya.

Bagi mengatasi masalah kemurungan digital dari terus melarat, beliau menyarankan agar penggunaan gajet dapat dikawal terutamanya bagi kanak-kanak dan remaja malah ibu bapa tidak boleh jadikan alat itu lagi sebagai pengganti bagi memastikan anak-anak mereka tidak menangis di meja makan.

"Luangkan masa dengan melakukan aktiviti bersama, nikmati keindahan alam, dapatkan tidur yang secukupnya serta tekad pada diri sendiri untuk hindar daripada menggunakan gajet atau telefon melebihi masa sepatutnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!