Akademi bola sepak Selangor, revolusi Gergasi Merah

Michael Feichtenbeine
Michael Feichtenbeine
A
A
A

SELANGOR bakal memiliki akademi bola sepak terbaik di Malaysia dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Keyakinan itu disuarakan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Michael Feichtenbeiner dengan langah awal merencana struktur baharu dalam pembangunan pasukan Gergasi Merah selain tumpuan turut diberikan kepada pasukan Selangor II yang dibarisi ramai pemain muda berkualiti.

Bagaimanapun, Feichtenbeiner mengakui ia bukan tugas mudah dan hasilnya hanya akan kelihatan seawal tahun 2022 dengan barisan pemain yang dibentuk bakal menyinar dalam kancah bola sepak negara.

"Ia memakan masa untuk membentuk akademi yang bagus. Bukan saya datang dan dalam tempoh singkat dan keputusannya akan dapat dilihat.

"Struktur bola sepak baharu perlu dibentuk dalam pasukan Selangor ini. Ia menjadi cabaran dan matlamat buat kami di persatuan.

"Sasaran saya untuk melihat corak baru bola sepak dalam pemain Selangor dan saya yakin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi kita akan memiliki akademi bola sepak terbaik di Malaysia," katanya dalam satu temubual video yang disiarkan FAS baru-baru ini.

Menurut Feichtenbeiner lagi, pengalaman yang dimilikinya ketika membimbing skuad muda Jerman, Redbull Salzburg dan Stuttgart bakal menjadi falsafah baginya untuk diserapkan dalam corak permainan gergasi Lembah Klang itu.

"Filosofi saya ialah saya mahu pemain saya bermain dengan berani dan bertindak lebih aktif dengan bola dan tanpa bola.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga akan pastikan pemain muda saya bermain dengan intensiti yang tinggi dan transisi ke gol pihak lawan dengan lebih laju.

"Ia adalah corak permainan yang saya mahu terapkan. Ia sudah tentu tegas dan berat tetapi ia cukup bagus untuk pembangunan pemain," katanya.

Justeru, beliau meminta semua pihak dalam Selangor FA daripada jurulatih sehingga kepada pemain supaya dapat bekerjasama dengannya merealisasikan struktur baharu bola sepak Selangor itu.

"Sekarang ia terpulang kepada saya untuk melatih semua jurulatih dan juga pemain supaya mereka dapat mengikuti struktur tersebut.

"Seperti yang saya sebutkan, ia memakan masa tetapi pada tahun 2022 kita akan dapat lihat hasilnya," katanya yang juga jurulatih Selangor II.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!