Ratusan bendera Palestin berkibar di Sungai Kelantan
TUMPAT - Ratusan bendera Palestin berkibar di atas bot yang menyusuri Sungai Kelantan tanda solidariti kepada umat Islam di negara itu yang diserang rejim Zionis Israel.
Program anjuran Kelab Anak Muda Tumpat itu turut disertai lebih 1,000 individu terdiri daripada anak-anak muda, nelayan bot, darat dan penambang dari Kuala Besar Kota Bharu serta penduduk di gugusan pulau sekitar daerah ini dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
Pengarah Program Perarakan Bot Solidariti untuk Palestin dan Pertahan Enakmen Syariah, Anas Rizuan Shamsuddin berkata, perarakan dimulakan dengan bacaan doa Qunut Nazilah dan laungan Allahu Akbar.
Setiausaha Kelab Anak Muda Tumpat itu berkata, bot-bot berlepas dari Jeti Laman Warisan dan berarak menuju ke Jambatan Sultan Yahya Petra sejauh lebih satu kilometer mengambil masa kira-kira 45 minit.
“Solidariti di jalan air ini julung kali diadakan di Kelantan sebagai tanda sokongan padu ke atas rakyat Gaza walaupun tidak dapat pergi ke medan peperangan.
“Kesemua peserta secara sukarela menghias bot masing-masing dengan bendera Palestin dan mereka jua menampung kos minyak masing-masing tanda semangat bagi membela umat Islam yang tertindas,” katanya ketika ditemui pemberita di Laman Warisan Kampung Laut, di sini, pada Jumaat.
Pelepasan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan.
Perarakan turut mendapat kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.
Sementara itu, nelayan, Nik Mohd Kamal Husin, 55, berkata, dia menyertai perarakan itu bersama 10 ahli keluarga dengan menaiki bot sepanjang 13 meter.
“Saya mahu rakyat Palestin terus mendapat sokongan moral dan berharap mereka tidak akan putus asas sehingga merdeka.
“Umat Islam di negara ini akan sentiasa berada di belakang dan menyokong perjuangan mereka hingga dibebaskan dari Zionis,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!