Negeri Sembilan wujud pusat kumpul padi elak ketirisan beras
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan merancang untuk mewujudkan sebuah pusat pengumpulan padi sebelum membina kilang dengan beras jenama sendiri bagi memastikan bahan asas itu mencukupi di negeri ini.
Exco Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi yang juga Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, para pesawah akan menghantar padi mereka di pusat itu nanti untuk dikumpulkan sebelum melalui proses seterusnya.
"Selepas dikumpulkan, padi akan dihantar untuk diproses, dibungkus serta dipasarkan di negeri ini semula dan hanya akan dijual ke negeri lain sekiranya terdapat lebihan bekalan.
"Kita akan buat dulu pusat pengumpulan padi negeri yang akan dilaksanakan suku tahun pertama tahun 2024 sebagai usaha untuk memastikan perbekalan beras kita cukup di Negeri Sembilan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Usahawan Asas Tani dan myGAP di Pasaraya Mydin Seremban 2 di sini pada Jumaat.
Jalaluddin berkata, operator yang menguruskan pusat ini akan menguruskan bagi pembungkusan baru untuk beras Negeri Sembilan dan dipasarkan untuk rakyat negeri ini semula.
"Jadi tidak berlaku lagi sebelum ini kerana padi kita keluar dari negeri (proses pembungkusan) tapi tak balik masuk negeri kita.
"Saya nak padi di Negeri Sembilan mestilah 'balik semula' untuk dinikmati oleh rakyat di negeri ini," katanya.
Media sebelum ini melaporkan satu inisiatif sedang dirancang bagi menghasilkan beras tempatan menggunakan jenama Seri Menanti bersempena kegiatan penanaman padi di daerah ini.
Kerajaan negeri turut merancang untuk membina kilang memproses beras sebagai langkah jangka masa panjang dalam memastikan keselamatan makanan untuk keperluan penduduk negeri itu tidak terjejas pada masa hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!