Amarah Pan-gon cetus impak positif

Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
A
A
A

PERUBAHAN karakter Kim Pan-gon menjadi pencetus utama kebangkitan Harimau Malaya sehingga berjaya bangkit menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.

Wira Harimau Malaya, Faisal Halim berkata, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu bagai ‘harimau’ memarahi barisan pemainnya di dalam bilik persalinan ketika waktu rehat selepas skuad negara ketinggalan 1-2 pada babak pertama.

Begitu pun, menurut Faisal, teguran ‘berbisa’ Pan-gon itu menyaksikan Harimau Malaya tampil lebih bertenaga sehingga mampu menterbalikkan kedudukan bagi membolehkan mereka membawa pulang tiga mata berharga dalam aksi sulung Kumpulan D.

“Jurulatih (Pan-gon) tak kata apa, cuma dia marah. Kalau saya nak cerita (terperinci) dalam (situasi di bilik persalinan) mungkin tak baik untuk pasukan.

“Jurulatih macam harimau (marah) pemain tapi itu adalah karakter jurulatih. Itu yang ditekankan dalam bilik persalinan separuh masa kedua. Kita cuba bangkit dan kita dibolosi.

“Kalau semua perasan, memang sukar untuk kita dapatkan tiga gol sebenarnya tetapi rezeki kita sampai minit akhir kita berjaya,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Faisal tidak mahu mendabik dada dijulang sebagai wira kerana menyedari tugas Harimau Malaya dalam kempen kali ini masih belum selesai.

Menurut Faisal, dia dan rakan-rakan sepasukannya perlu lebih fokus untuk membawa pulang tiga mata apabila berdepan Taiwan dalam aksi kedua Kumpulan D pada Selasa ini.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kami menang malam ini (Khamis), saya tidak mahu pasukan seri atau kalah di Taiwan. Jika keputusan itu (seri atau kalah) diraih, kemenangan malam ini (Khamis) tidak memberi apa-apa makna.

“Kami perlu kekalkan konsistensi dan perbaiki apa yang boleh untuk pergi jauh. Apa pun, kami bangga dapat berikan kemenangan untuk rakyat Malaysia malam ini (Khamis),” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!