'Ini semua komplot Mr H untuk jatuhkan saya' - Agus

Agus (tengah) dan Abdul Wahab (dua dari kiri) pada sidang media pada Jumaat.
Agus (tengah) dan Abdul Wahab (dua dari kiri) pada sidang media pada Jumaat.
A
A
A

BANGI - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan penolong pegawai di J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, mendakwa video perbualan songsang yang dikaitkan dengan mereka adalah komplot dilakukan seorang individu bergelar 'Mr H' untuk menjatuhkan kredibiliti Mohammad Agus.

Mohammad Agus berkata, video tersebut merupakan kandungan yang telah disunting dan bertujuan disiarkan di media sosial untuk menjatuhkan kredibiliti, imej serta maruah beliau.

"Apa yang hendak saya katakan, (kandungan audio dalam) video itu pertamanya saya nafikan.

"Saya ingin katakan bahawa video itu adalah suatu (kandungan) yang diubah, disunting dan difitnah (doctored, edited dan framed)," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, satu video mirip Mohammad Agus tersebar di media sosial menerima kecaman pelbagai pihak.

Ujar Mohammad Agus, video yang tersebar itu dilihat lebih awal setelah ditunjukkan oleh individu lain yang juga merupakan ahli politik, namun tidak mengambil sebarang tindakan.

Ulasnya, susulan itu, satu laporan polis telah dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan beliau menyerahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut.

"Saya fikir tak nak panjangkan.. cuma tak sangka lepas saya ambil tindakan mudah ini, ini yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Rancangan (letak jawatan) tu soal lain. Saya tak tahu video akan tersebar," ulasnya.

Mohammad Agus pada Khamis mengesahkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan tersebut.

Mohammad Agus dilantik ke jawatan berkenaan pada Februari lalu, namun beliau serta jabatan terbabit banyak menerima kritikan berikutan disifatkan kurang berkesan dalam memainkan peranannya menguar-uarkan maklumat berkaitan pelbagai manfaat dan insentif disediakan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!