Tak percaya Harimau Malaya dapat bangkit
TIDAK keterlaluan jika dikatakan kelibat bintang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menjadi kunci utama kejayaan Harimau Malaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Kesemua jaringan yang diperoleh Harimau Malaya hadir menerusi pemain sayap lincah yang menyarung jersi nombor 12 itu termasuk jaringan sendiri pertahanan Kyrgyzstan, Khristiin Brauzman pada minit ke-71.
Sebelum itu, dua sepakan sudut Arif Aiman ditanduk masuk Dion Cools untuk gol pertama dan ketiga, selain gerakan lincahnya menyebabkan Brauzman menjaringkan gol sendiri untuk gol kedua Harimau Malaya.
Pemain berusia 21 tahun itu menutup malam gemilang Harimau Malaya dengan gerakan menarik bersama Endrick dos Santos sebelum dia melorongkan bola kepada Faisal Halim yang menyudahkan jaringan kemenangan pada masa kecederaan.
Bagi Arif Aiman, dia sendiri tidak menjangka Harimau Malaya mampu bangkit membenam Kyrgyzstan selepas ketinggalan dua gol ketika saingan berbaki 18 minit.
“Terkejut kerana kita kena (bolos) tiga gol tetapi tiada sebab untuk kami mengalah. Jadi, kami terus lakukan yang terbaik dan dapatkan tiga lagi gol untuk menang.
“Tak percaya juga dapat bangkit kerana kami menentang pasukan yang berada di ranking lebih tinggi tetapi apa yang penting adalah kami meraih kemenangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!