Taban buah hutan enak, hampir pupus

Yahaya menjual buah taban dan memperoleh bekalan daripada masyarakat Orang Asli.
Yahaya menjual buah taban dan memperoleh bekalan daripada masyarakat Orang Asli.
A
A
A

RAUB - Jika disebut buah taban, tentu ramai khususnya generasi muda tidak mengenali buah nadir dari hutan itu.

Bentuknya seperti buah manggis dengan rasanya manis, sedikit masam.

Keunikan buah tersebut menjadi pilihan buat seorang seorang peniaga buah-buahan di Kampung Batu Malim di sini, Yahaya Hamid, 50, yang menjadikan ia sebagai produk jualan di gerainya.

Dijual dengan harga RM8 sekilogram (kg), Yahaya mampu menjual taban sehingga mencecah 50kg di pekan sehari di kampung tersebut.

Menurutnya, selepas durian, rambutan dan buah-buahan tempatan lain berkurangan apabila tiba di penghujung musim, dia menjual buah itu sebagai sumber pendapatan keluarga.

"Seperti sebelum ini, saya mula menjual buah taban kerana buah hutan ini juga digemari oleh orang ramai.

"Kebiasaannya, pokok taban ini mula berbuah selepas buah-buahan lain mula habis dipetik atau gugur dan menandakan berakhirnya musim buah tempatan khususnya yang ditanam di dusun," katanya.

Jelas Yahaya, dia lebih awal menempah buah itu dengan penduduk Orang Asli Pos Sinderut, Ulu Jelai, Lipis antara pembekal buah tersebut setiap kali penghujung tahun.

Artikel Berkaitan:

Buah taban rasanya manis dan sedikit masam.
Buah taban rasanya manis dan sedikit masam.

Katanya, Orang Asli memperoleh buah taban yang banyak didapati di hutan Ulu Jelai dan menghantar bekalan itu untuk dijual.

"Mereka (Orang Asli) sanggup masuk ke hutan berhari-hari lamanya untuk mencari buah taban kerana sukar diperoleh berdekatan kampung malah kadang-kadang pokoknya jarang berbuah.

"Buah taban antara buah hutan yang semakin pupus dan mempunyai nilai komersial tinggi selain enak dimakan," kata beliau lagi yang turut menjual petai dan duku.

Beliau juga mengakui ramai generasi muda hari ini tidak tahu atau pernah melihat buah tersebut.

"Sekiranya dilihat sekilas lalu, taban seakan-akan buah tampoi. Sebenarnya kedua-dua buah ini mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakan biologinya.

"Satu lagi, buah taban, iaitu tumbuh di bahagian batang pokok dan tampoi berbuah di bahagian dahan selain bentuk buah taban lebih bulat berbanding tampoi sedikit tirus di bahagian bawah," jelas beliau lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!