Jangan biarkan Thailand curi pelancong
KISAH Pulau Langkawi yang digambarkan bakal jadi sebuah pulau berhantu kerana jumlah pelancong datang ke destinasi peranginan itu semakin berkurang telah membuka perdebatan hangat dalam kalangan rakyat di negara ini.
Ia bermula dengan kenyataan dikeluarkan oleh Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) yang mendakwa semakin ramai pengusaha makanan menutup operasi, manakala pemilik kereta sewa pula melelong kenderaan masing-masing kerana tidak mahu menanggung hutang bank ekoran kemerosotan pelancong ke pulau berkenaan.
Ada beberapa pihak termasuk kerajaan negeri tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa pelancongan di pulau itu dipengaruhi empat musim iaitu musim hujan, musim panas, musim 'low season' dan musim 'peak season'.
Kebiasaannya, ia akan kembali dipenuhi pelancong apabila musim cuti dan terbukti semasa perayaan Deepavali baru-baru ini dilaporkan seramai 10,000 pelancong masuk ke pulau tersebut.
Bagaimanapun, kita perlu melihat perkara dibangkitkan itu sebagai satu wakeup call kepada industri pelancongan negara yang bersaing sengit dengan Thailand.
Antara komen-komen oleh netizen di media sosial mengatakan antara sebab utama mereka begitu tertarik mengunjungi Thailand kerana makanan yang murah dan sedap.
Selain itu, harga hotel yang murah tetapi jauh lebih baik berbanding di Malaysia dan terdapat banyak destinasi menarik untuk dikunjungi.
Berdasarkan laporan dikeluarkan Kementerian Pelancongan dan Sukan, Thailand, negara itu menerima 11.4 juta pelancong asing dari Januari hingga 11 Jun tahun ini yang menyumbang 472 bilion baht (RM63 bilion) jumlah perbelanjaan sektor pelancongan.
Angka itu melepasi paras 11.15 juta orang pelancong dalam tempoh sama pada 2022.
Pelancong Malaysia adalah antara lima pelawat antarabangsa terbesar ke negara itu selain China, India, Singapura dan Korea Selatan.
Itu bermakna dari 1 hingga 11 Jun, seramai 460,527 pelancong melawat Thailand dan kementerian menyasarkan sejumlah 2.17 juta ketibaan pelancong pada Jun.
Dalam pada itu, Thailand menyasarkan antara 25 dan 30 juta pelancong asing berikutan pemulihan pantas sektor pelancongan untuk tahun ini.
Sebagai rekod, Thailand yang merupakan antara destinasi pelacongan paling popular di Asia, dikunjungi hampir 40 juta orang pada 2019.
Sementara itu, data carian platform percutian digital Agoda melaporkan dua bandar raya di Thailand iaitu Hat Yai dan Bangkok menjadi destinasi idaman oleh keluarga Malaysia yang ingin bercuti di luar negara tahun ini.
Tiga lagi kota metropolitan Asia menawarkan pelbagai jenis hiburan bagi semua peringkat umur yang menjadi pilihan ialah Singapura, Tokyo dan Taipei.
Menurut Agoda, tujuh daripada 10 destinasi antarabangsa yang mendapat carian tertinggi untuk percutian pada 2023 oleh golongan berkeluarga adalah bandar-bandar besar.
Idaman pelancong ialah untuk berkunjung ke Phuket dan Krabi di Thailand termasuk ke Bali, Indonesia mendapat tempat dalam senarai destinasi percutian keluarga yang mendapat carian tertinggi.
Sementara itu, destinasi domestik yang menjadi pilihan percutian keluarga Malaysia ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.
Destinasi percutian lain dengan udara nyaman seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands juga menarik perhatian pelancong keluarga Malaysia.
Kita harus bergerak pantas dan dapat menjadikan negara ini sebagai destinasi pelancong terbaik supaya Malaysia dapat meningkatkan ekonomi, malah pendapatan untuk rakyat.
Masih banyak perlu dilakukan dan ia bukan sahaja memerlukan perhatian khusus oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tetapi penglibatan kerajaan negeri serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.
Jika kita tidak berubah, dakwaan mengatakan Pulau Langkawi bakal jadi sebuah tempat berhantu itu akan jadi kenyataan.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!