Nilai kami secara profesional, adil - Fahmi

Fahmi bercakap semasa sidang media bersama media di sini pada jumaat. - Foto Bernama
Fahmi bercakap semasa sidang media bersama media di sini pada jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SAN FRANCISCO - Kerajaan Perpaduan yang akan memasuki usia setahun pentadbirannya, mempunyai kelemahan, namun sebarang penilaian perlu dibuat secara profesional dan adil, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

"Saya berani katakan, walaupun saya sendiri perlu banyak belajar. Ini penggal pertama saya sebagai menteri, banyak cabarannya, tidak syak lagi.

"Tetapi, saya fikir anggota Kabinet ramai yang mempunyai pengalaman tetapi ada juga kali pertama menjadi menteri yang terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mempelajari tugas mereka," katanya ketika ditanya mengenai persepsi umum beberapa menteri yang tidak mencapai standard diperlukan.

Justeru, terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau ingin merombak Kabinet, kata Fahmi kepada media Malaysia di sini di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30, yang berakhir Jumaat.

"Adil untuk mengatakan bahawa ada yang perlu bekerja lebih keras dan lebih bijak. Saya bukanlah tidak bersetuju.

Beliau berkata, penting juga untuk melihat sama ada kementerian atau menteri yang mempunyai kelemahan, dan perlu mencari penyelesaian sekiranya terdapat masalah.

"Jadi, tidak semestinya (kelemahan) menteri itu sendiri. Anda boleh ada menteri yang bagus, tetapi jika ada masalah lain di sana, anda masih akan menghadapi kesulitan," katanya.

Fahmi berkata, secara keseluruhan, Kerajaan Perpaduan telah memperoleh banyak pencapaian, walaupun menghadapi cabaran domestik dan global.

Artikel Berkaitan:

"Harga barang dan inflasi terkawal. Bagi sektor komunikasi, kadar inflasi sektor ini kekal -3.7 peratus. Ia sekali gus memudahkan rakyat mendapat akses Internet dan ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan program seperti Skim Perubatan Madani, peningkatan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan-bantuan yang telah meningkat untuk golongan petani dan pesawah, menyaksikan peningkatan pertama dalam masa 25 tahun.

Dari segi pelaburan, Fahmi berkata kerajaan juga telah menarik banyak pelaburan dari Timur Tengah, China mahupun Amerika Syarikat.

"Tetapi, pada masa yang sama terdapat perkara yang sedang dibuat, seperti pembaharuan institusi yang akan mengambil sedikit masa," katanya.

Fahmi berkata, satu sambutan secara besar-besaran untuk menandakan pemerintahan satu tahun Kerajaan Perpaduan akan diadakan dari 8 hingga 10 Disember ini, dan segala kejayaan yang dikecapi kerajaan akan dikumpul dan disebarkan.

"Walaupun sambutan utama diadakan di Bukit Jalil, kami akan memastikan semua medium mengambil bahagian dan mesej serta pencapaian Kerajaan Perpaduan disebarkan ke seluruh negara," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!