Pelajar maut motosikal bertembung kereta pesara guru
KUANTAN - Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 39, Jalan Kuantan-Cheneh, Felda Bukit Sagu di sini pada petang Jumaat.
Dalam nahas kira-kira jam 7 petang itu, mangsa, Mohamad Amin Aiman Ramli, 17, dari Taman Bukit Goh Perdana di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta yang juga seorang pesara guru berusia 69 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda FS150 dalam perjalanan dari arah Bukit Goh menghala ke Bukit Sagu.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Perodua Bezza dipandu pesara guru itu.
"Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat," katanya.
Jelas Wan Mohd Zahari, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!