Itali buru slot Euro 2024
FEDERICO Chiesa menjaringkan dua gol untuk membantu Itali meraih kemenangan 5-2 di tempat sendiri menentang Macedonia Utara dalam perlawanan kelayakan Euro 2024 pada Sabtu.
Ia sekali gus memberikan kelebihan kepada Itali menjelang pertemuan penentuan dengan Ukraine pada Selasa untuk mengesahkan tempat ke Euro 2024.
Kemenangan tersebut bermakna Itali hanya memerlukan keputusan seri menentang Ukraine untuk memastikan tempat kedua dalam kumpulan C bersama England yang sudah layak dan mara ke pusingan akhir tahun depan di Jerman.
"Dengan kualiti kami, lambat laun kami menjaringkan gol, tetapi terdapat bahaya serangan balas yang kami tidak pernah diganggu pada separuh masa pertama tetapi beberapa kali selepas rehat," kata pengendali Itali, Luciano Spalletti.
Itali memecah kebuntuan selepas 17 minit apabila Matteo Darmian yang tidak dikawal menanduk masuk tendangan sudut sebelum Chiesa menggandakan pendahuluan empat minit sebelum rehat.
Pada masa kecederaan separuh masa pertama, Itali mendapat gol ketiga apabila Chiesa mengelecek pertahanan Macedonia sebelum melepaskan rembatan lencong.
Macedonia Utara kembali dalam perlawanan selepas 52 minit apabila Jani Atanasov menanduk hantaran lintang jarak dekat sebelum menjaringkan gol keduanya dengan rembatan jarak jauh pada minit ke-74.
"Gol kedua adalah cabaran besar sehingga mengubah aspek psikologi perlawanan.
"Pada ketika itu, saya rasa kami melihat yang terbaik dari Itali daripada segi perwatakan dan kualiti kerana kami menunjukkan kekuatan untuk terus mara dan memastikan kemenangan dengan dua lagi gol," katanya.
Raspadori mematahkan harapan pelawat sembilan minit sebelum tamat dengan jaringan dari sudut sukar di dalam kotak, manakala Stephan El Shaarawy menambah gol kelima Itali pada masa kecederaan.
Spalletti ditanya sama ada dia merancang untuk membuat perubahan untuk perlawanan Ukraine di Leverkusen, Jerman.
“Bagi perlawanan seterusnya, kita kena lihat prestasi semua orang, tetapi saya tidak meramalkan banyak perubahan,” katanya.
Denmark mara ke Euro 2024
Denmark menempah tempat ke Euro 2024 selepas melakar kemenangan 2-1 ketika menentang Slovenia.
Dalam aksi Kumpulan H itu, kedua-dua pasukan mampu melayakkan diri dengan kemenangan di Copenhagen tetapi tuan rumah lebih unggul dengan gol pada setiap babak oleh Joakim Maehle dan Thomas Delaney.
Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand berkata, berpuas hati dengan keseluruhan pasukan.
"Saya berpuas hati dengan segala-galanya," katanya.
Denmark membuka tirai jaringan menerusi Maehle yang berjaya menampan masuk hantaran lintang pada minit ke-26.
Tetapi, gol itu hanya bertahan empat minit sebelum Erik Janza melencongkan sepakan percuma kaki kiri melepasi Kasper Schmeichel.
Perlawanan sengit itu akhirnya dimenangi Denmark sembilan minit selepas rehat apabila Delaney tenang mengawal bola dan menyudahkan gol menarik dalam kotak penalti selepas menerima umpanan Jannik Vestergaard.
Dalam pada itu, Albania juga berjaya layak selepas seri 1-1 di Moldova untuk memastikan mereka menamatkan saingan di kedudukan kedua Kumpulan E.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!