Rangka Kerja Sukuk Kelestarian UEM capai piawaian
RANGKA Kerja Sukuk Kelestarian Berhad UEM Group Berhad (UEM) telah memenuhi piawaian kewangan hijau yang diiktiraf oleh RAM Sustainability.
RAM Sustainability ialah anak syarikat milik penuh RAM Holdings Bhd yang mengkhusus dalam perkhidmatan kemampanan dan analitik alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).
Syarikat tersebut dalam kenyataan pada Jumaat berkata, inisiatif hijau akan dibiayai di bawah Rangka Kerja Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), kecekapan tenaga, pengangkutan bersih dan pencegahan.
Ia termasuk juga kawalan pencemaran berpotensi menyumbang ke arah sasaran penyahkarbonan negara seperti yang ditakrifkan dalam pelan peralihan tenaga negara dan Rancangan Malaysia ke-12.
“Kami memberikan penarafan faedah alam sekitar (EB) Tahap-1 tertinggi kepada projek RE masing-masing yang layak untuk solar, tenaga hidro dan biogas, mencerminkan potensi sumbangan mereka terhadap iklim yang signifikan serta manfaat alam sekitar lebih luas.
“Penarafan EB untuk projek lain yang layak di bawah rangka kerja berkisar dari Tahap-2 hingga Tahap-3,” menurut kenyataan tersebut.
UEM pula ialah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang mempunyai kepentingan dalam lebuh raya, perbandaran dan pembangunan hartanah, kejuruteraan dan pembinaan, aset dan pengurusan kemudahan serta industri hijau.
Khazanah merupakan dana kekayaan Malaysia dan juara Zon Tenaga Boleh Diperbaharui bersepadu berskala besar di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang mengesahkan UEM sebagai kenderaan pelaburan hijaunya.
Tambah RAM Sustainability, projek tersebut sejajar dengan keperluan pendedahan Rangka Kerja Sukuk SRI, Piawaian Bon Hijau ASEAN dan Piawaian Bon Hijau yang diselaraskan dengan semua bidang teras.
Menurutnya, semakan kini terhad kepada perspektif bon hijau dan sukuk kerana rangka kerja semasa masih belum mempamerkan projek sosial atau komponen berkaitan kemampanan.
“UEM merancang untuk mengemas kini rangka kerja pada masa akan datang dengan lebih banyak projek yang layak dan komponen berkaitan kemampanan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!