Polis tahan dua wanita dipercayai jadi keldai akaun
BALIK PULAU - Polis menahan dua wanita yang dipercayai menjadi keldai akaun kepada dua sindiket penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM27,000 Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, dua wanita berusia 24 dan 44 tahun itu ditahan di Balai Polis Bayan Lepas, di sini selepas mereka hadir bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan.
Katanya, siasatan awal mendapati wanita berusia 44 tahun itu menjadi keldai akaun sindiket penipuan membabitkan urusan pelaburan dalam talian yang tidak wujud melalui aplikasi telegram, manakala wanita kedua pula berkaitan penipuan urusan pinjaman wang secara dalam talian sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM6,000.
Ketika dihubungi hari ini beliau berkata, kedua-dua wanita itu direman bagi membantu siasatan, dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan mengenai kesalahan menipu.
Keldai akaun ialah individu yang menyerahkan kad ATM serta nombor pin kad itu kepada individu lain dan akaun itu pula digunakan bagi tujuan jenayah.
Sementara itu Kamarul Rizal berkata, polis menyita empat motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, di samping mengeluarkan 34 keping saman kerana pelbagai kesalahan trafik dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan sekitar Bayan Lepas awal pagi ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!