Serangan Israel masuk hari ke-43, 12,000 rakyat Palestin terbunuh
ANKARA - Serangan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza memasuki hari ke-43 pada Sabtu, dengan angka terkini menunjukkan lebih 12,000 rakyat Palestin terbunuh termasuk lebih 8,300 wanita dan kanak-kanak.
Selain itu, lebih 30,000 yang lain cedera, lapor Agensi Anadolu.
Sekatan Israel juga mengakibatkan bekalan bahan api, elektrik dan air terputus selain mengurangkan penghantaran bantuan ke wilayah itu.
"Orang awam yang tidak bersalah, termasuk beribu-ribu kanak-kanak, telah meninggal dunia dalam sejak minggu lalu,” kata ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell kepada Menteri Luar Israel Eli Cohen.
Israel menduduki Kompleks Perubatan Al-Shifa atas dakwaan ibu pejabat utama Hamas berada di bawah bangunan hospital itu. Tetapi selain senjata berkarat dan beberapa kamera yang didakwa ditemuinya di kemudahan itu, Israel tidak mengemukakan sebarang bukti bagi dakwaannya, sekali gus mencetuskan kritikan.
Pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan Israel melakukan "pembunuhan beramai-ramai" dengan pencabulan serius terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki berkata, Gaza telah berubah daripada penjara terbuka terbesar di dunia kepada tanah perkuburan terbuka terbesar disebabkan sekatan berterusan Israel dan serangan berterusannya.
Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh berkata, rakyat Palestin tidak akan menerima percubaan Israel untuk menduduki Gaza atau memisahkannya daripada Tebing Barat.
Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan bahawa kereta kebal Israel mengepung Hospital Al-Ahli Baptist di utara Gaza dan pasukan itu tidak dapat memberi bantuan kecemasan kepada penduduk yang cedera di kawasan berkenaan.
Terdapat berpuluh-puluh kematian dan kecederaan akibat serangan udara Israel pada Jumaat yang menyasarkan bahagian tengah dan selatan Gaza.
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri di Gaza, helikopter dan pesawat tentera Israel menyerang rumah-rumah di Khan Younis dan Rafah di selatan Gaza.
Kerajaan di Gaza mengumumkan bahawa lebih 7,000 penduduk yang mencari perlindungan, pesakit dan kakitangan perubatan di Hospital Al-Shifa yang dikepung oleh Israel berdepan kematian kerana kekurangan air dan makanan.
‘Tiada air, makanan atau susu untuk kanak-kanak di Hospital Al-Shifa yang menempatkan 650 pesakit dan kira-kira 7,000 orang yang kehilangan tempat tinggal," kata pejabat media kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Tentera Israel menyerbu bandar Jenin dan kem pelariannya di utara Tebing Barat dengan berpuluh-puluh kenderaan tentera, menurut Agensi Berita Palestin WAFA.
Dalam serangan yang dilancarkan tentera Israel ke kem pelarian Jenin, tiga orang penduduk Palestin terbunuh manakala sembilan lagi cedera.
Sekatan berterusan oleh polis Israel di sekitar kompleks Al-Aqsa menghalang rakyat Palestin daripada menunaikan solat Jumaat di masjid itu.
Tentera Israel juga menahan 47 rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
"Tentera Israel meneruskan serbuan dan menahan rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
"Jumlah rakyat Palestin yang ditahan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak 7 Okt mencecah 2,800 orang,” kata Kelab Tahanan Palestin.
Pusat Statistik Palestin berkata masih terdapat 807,000 rakyat Palestin yang tidak meninggalkan kediaman mereka di Gaza dan bandar-bandar di Utara Gaza, yang terdedah kepada serangan berterusan tentera Israel. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!