Amaran kemungkinan banjir di Tanah Merah, Pasir Mas pagi esok

Foto Hiasan
Foto Hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran kemungkinan banjir di dua jajahan di Kelantan iaitu di Tanah Merah dan Pasir Mas bermula awal pagi esok, sekiranya hujan terus berlaku sepanjang hari ini.

JPS dalam kenyataan memaklumkan ramalan itu berdasarkan amaran hujan berterusan (tahap buruk) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada jam 5.40 pagi tadi dan hasil simulasi model ramalan banjir.

Menurut kenyataan itu, Kampung (Kg) Kajang di Tanah Merah dijangka mengalami banjir pada 1 pagi esok (Ahad) manakala kawasan sekitar Kg Nibong dan Kg Air Bujing akan dinaiki air pada 3 pagi.

Bagi jajahan Pasir Mas empat kawasan yang dijangka banjir pada 3 pagi esok ialah Kg Kubang Rambutan, Kg Bagus, Kg Degung dan Kg Limau Purut.

Pada jam 9 pagi pula kawasan yang dijangka terjejas banjir adalah di Pasir Mas membabitkan kawasan sekitar Jeti Danau Tok Uban, Kg Chasi, Tok Uban, Kg. Rasal, Kg Kuala Itik, Kg Kok Pauh, Kg Rahmat, Kg Pengkalan Telok dan Kg Tersang.

Sementara itu kawasan Kg Lubok Gong diramal mengalami banjir pada 5 petang esok diikuti sekitar pekan Rantau Panjang, Kg Gelang Mas, dan Kg Kalor pada 11 malam.

Kenyataan itu turut memaklumkan banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan dan amaran itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!