Kemaman berhak dapat MP yang boleh beri fokus sepenuhnya - Ahmad Zahid
CHUKAI - Kemaman berhak mendapat seorang Ahli Parlimen yang dapat memberi fokus kepada penduduknya, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam hal ini, katanya BN sebulat suara menawarkan seorang calon yang bukan sahaja membesar dan amat memahami daerah berkenaan, malah mempunyai pengalaman melindungi kesejahteraan rakyat dan menjadi ‘panglima’ kepada ribuan anggota untuk membela keselamatan rakyat.
Beliau percaya calon yang dipilih BN, iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor juga berdasarkan kekuatan personaliti beliau akan dapat memangkin ekonomi dan kemakmuran Parlimen ini.
"Sudah sampai masanya rakyat memilih wakil untuk berkhidmat, bukannya memilih pakatan parti yang asyik dengan percaturan politik tidak henti-henti.
"Biarlah wakil yang mewakili rakyat Kemaman ini dapat fokus mentadbir Parlimen dan dapat berhubung terus dengan Kerajaan Perpaduan untuk urusan kemajuan yang lebih mudah dan tersusun rapi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Raja Mohamed Affandi akan berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pas yang diwakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, dan 2 Disember ini ditetapkan sebagai hari mengundi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengakui Terengganu sememangnya memerlukan seorang pemimpin yang dapat memberi fokus mengangkat taraf ekonomi tempatan dan memikirkan kelangsungan pembangunan Negeri, namun bukanlah seseorang yang berhasrat menambah jawatan lagi.
Beliau bagaimanapun yakin pengundi Kemaman bijak menilai yang terbaik untuk kesejahteraan Parlimen itu.
"Nasihat saya kepada jentera Barisan Nasional untuk kita berkempen secara sihat serta berhemah dan jangan kita terikut cara mereka yang sarat dengan caci maki dan fitnah. Insya-ALLAH BN mampu kembali mendominasi dan kembali menjadikan Kemaman ‘biru ori’,” katanya.
PRK Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!