Kerjasama Persekutuan, Sarawak penting jayakan Sukma 2024
KERJASAMA erat antara Sarawak dan kerajaan Persekutuan penting dalam menjayakan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2024, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Beliau berkata, lebih banyak sesi libat urus harus diadakan antara kedua-dua pihak supaya penganjuran temasya sukan itu dapat berjalan lancar.
"Sarawak dan (kerajaan) Pusat perlu adakan lebih banyak mesyuarat untuk pastikan SUKMA tahun depan adalah SUKMA yang paling terbaik untuk atlet kita,” katanya semasa berucap di majlis perasmian Sukan Perpaduan pada Sabtu.
Sarawak dipilih sebagai tuan rumah penganjuran Sukma edisi ke-21 yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan. Sebelum ini Sarawak pernah menjadi tuan rumah kepada temasya sukan terbesar negara iaitu bagi edisi 1990 dan 2016.
Sementara itu Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata persiapan Sukma 2024 berjalan dengan lancar.
"Sarawak memperuntukkan RM124 juta untuk membaik pulih fasiliti sukannya. Selain itu, RM80 juta juga telah disediakan kerajaan negeri untuk persiapan atlet-atlet Sarawak,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!