'Buat semakan jika was-was'
SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu sekiranya dihubungi oleh individu yang menyamar dari mana-mana jabatan mahupun agensi penguatkuasaan di balai polis berdekatan bagi mengelak menjadi mangsa scammer.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, keadaan itu terutama jika pihak terbabit turut meminta nombor akaun untuk tujuan pemindahan wang dan seumpamanya.
"Kesilapan paling besar adalah tidak merujuk terlebih dahulu status diri menyebabkan mereka memberi ruang menjadi mangsa sindiket yang begitu licik mencari mangsa.
"Sepatutnya membuat semakan dengan pihak berkenaan atau polis sekiranya mereka berasa was-was," katanya Kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, beliau juga kesal apabila perkara itu seolah-olah tiada kesedaran meskipun ia melibatkan kerugian sehingga beratus-ratus ribu ringgit.
"Boleh dikatakan hari-hari keluar berita berkaitan scammer sama ada di akhbar, televisyen, radio dan di media sosial tetapi masih ada yang dilaporkan menjadi mangsa.
"Sebab mereka ambil mudah tentang isu itu dan tiada kesedaran," katanya.
Katanya, lebih malang lagi mereka yang menjadi mangsa dalam kalangan yang cerdik pandai dan juga golongan profesional.
Namun beliau juga berpendapat kemungkinan individu terbabit itu ada membuat 'kesalahan' menyebabkan mereka terpedaya dengan sindiket ini.
"Orang ramai boleh menyemak jika sindiket memberikan nombor akaun untuk tujuan pemindahan wang dan seumpamanya melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi melihat sama ada akaun itu pernah disiasat atau sebaliknya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!