Pemilihan Amanah secara konsensus berdasarkan prestasi - Adly

Adly pada sidang akhbar selepas perasmian penutup Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Kubang Pasu, di sini pada Sabtu.
Adly pada sidang akhbar selepas perasmian penutup Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Kubang Pasu, di sini pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Konsep konsensus dalam pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi memilih kepimpinan tertinggi parti adalah berdasarkan kepada prestasi pemimpin.

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, ia merupakan konsep terbaik dalam mengetengahkan pemimpin terbaik untuk diangkat sebagai kepimpinan di peringkat nasional.

Menurutnya, konsep seumpama itu digunakan bagi mengelak apa yang pernah dilalui pemimpin Amanah berulang dalam pemilihan parti berkenaan.

“Pengalaman kita dulu dalam Pas, walaupun kita lihat pimpinan kita seperti Presiden (Datuk Seri Mohamad Sabu) dan Timbalan Presiden (Datuk Seri Salahuddin Ayub) prestasi baik tetapi oleh kerana wujud sentimen-sentimen, mereka ditolak. Jadi kita tak mahu lagi dengan model politik sebegitu.

“Sebab itu kita memilih kepimpinan berdasarkan prestasi dan nilai yang ada pada pemimpin itu sepanjang memimpin parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian penutup Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Kubang Pasu di sini pada Sabtu.

Adly berkata, konsep ini juga membolehkan ahli-ahli parti menilai bakat-bakat kepimpinan terbaik untuk menerajui parti.

“Kita masih dalam proses mengadakan mesyuarat agung sehingga hujung bulan ini. Selepas selesai mesyuarat peringkat kawasan, pencalonan peringkat nasional akan diketahui.

“Pemilihan kepimpinan Amanah lebih kepada konsensus. Maknanya, kita pilih 27 kepimpinan utama parti dan daripada itu bersama ketua-ketua peringkat sayap, kita memilih lima kepimpinan utama iaitu Presiden, Timbalan Presiden serta tiga naib,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas namanya antara disebut-sebut bakal mengisi jawatan nombor dua parti itu, beliau berkata, ia bergantung kepada keputusan jawatankuasa yang dianggotai 27 pemimpin parti.

“Memang boleh ada cadangan daripada mana-mana orang. Tetapi akhirnya kita memilih kepimpinan secara konsensus setelah semua pihak berikan pandangan.

“Buat masa ini kita belum pernah mengundi dengan model tersebut. Kebiasaannya kita berhujah dan secara konsensus sepakat memilih kepimpinan,” ujarnya.

Adly tegaskan, mana-mana pemimpin tidak menawarkan diri bertanding mana-mana jawatan susulan kepimpinan tertinggi parti itu diputuskan oleh kepimpinan dalam jawatankuasa parti.

“Kita memilih berdasarkan prestasi, nilai yang dibawa pemimpin tersebut serta bagaimana kita dapat bekerjasama dalam parti.

“Tak timbul isu bersedia atau tidak, kerana buat masa ini kita mendukung kepimpinan Presiden parti walaupun kita kehilangan timbalan. Ini kerana Amanah didukung oleh kepimpinan secara konsensus dan kita tahu tanggungjawab jawatankuasa terbabit.” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang bersedia memikul tanggungjawab lebih besar dalam parti itu sekiranya memperoleh sokongan tertinggi.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah memaklumkan, Amanah sentiasa memainkan peranan untuk menyatukan kesemua parti-parti yang bernaung bawah Kerajaan Perpaduan walaupun jumlah pemimpin dari parti itu kecil dalam kabinet.

“Bukan sahaja kita menyatukan parti-parti dalam PH sendiri tetapi Amanah memainkan peranan menyatukan Kerajaan Perpaduan.

"Sebab itu kalau kita lihat dalam kerajaan walaupun jumlah kita mungkin kecil berbanding parti-parti lain, namun peranan kita cukup besar. Antaranya komitmen kepimpinan Amanah berhubung kerjasama dengan Barisan Nasional (BN),” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!