Australia teliti permohonan suaka remaja Arab Saudi
BANGKOK - THAILAND. Kerajaan Australia berkata, ia akan menimbang dengan teliti permohonan suaka oleh remaja Arab Saudi berusia 18 tahun yang melarikan diri ke Thailand kerana mendakwa didera secara fizikal dan psikologi oleh keluarganya.
Australia semalam, membayangkan pemberian status pelarian kepada Rahaf Mohammed al-Qunun, dan mengatakan pihaknya berpuas hati kerana Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) sedang menilai permohonan berkenaan.
“Permohonan Qunun untuk visa kemanusiaan akan dipertimbangkan dengan teliti sebaik proses UNHCR dirumuskan,” kata seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri.
Sementara itu di Geneva, jurucakap UNHCR, Babar Baloch memaklumkan, proses penelitian tuntutan suaka Qunun telah bermula dan mungkin mengambil masa beberapa hari.
Qunun tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dari Kuwait hujung minggu lalu dan kini ditempatkan dalam jagaan UNHCR di Thailand.
Remaja itu yang dibenarkan meninggalkan lapangan terbang terbabit kelmarin berkata, dia merancang memohon suaka di Australia kerana bimbang dibunuh jika dihantar pulang ke negara asal.
Dalam pada itu, bapa dan abang Qunun dilaporkan tiba di Thailand semalam dan menyatakan hasrat mahu bertemu remaja terbabit, bagaimanapun permohonan tersebut harus mendapat kebenaran pihak UNHCR terlebih dahulu.
Ahad lalu, pihak berkuasa Thailand berkata, Qunun akan dihantar pulang ke Arab Saudi namun mengubah fikiran apabila berita mengenainya tersebar di media sosial. -AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!