Rumah Ngaji manfaatkan teknologi, media sosial
KOTA BHARU - Perkembangan teknologi dan media sosial di negara ini turut memberi peluang kepada peningkatan peserta dan pendakwah Rumah Ngaji di negeri ini.
Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji negeri Kelantan (PRNNK), Mejar (B) Datuk Adnan Hashim berkata, penyertaan secara dalam talian juga meningkat setiap tahun terutama selepas negara dilanda pandemik Covid-19.
Menurut beliau, dalam tempoh itu, Rumah Ngaji turut menguruskan Kursus Tadabbur secara dalam talian dan Seminar Tadabbur yang dikendalikan oleh Akademik Tadabbur Rumah Ngaji (ATAR).
"Syukur juga kerana selepas Covid-19 kelas tadabbur dalam talian dan secara bersemuka meningkat termasuk peserta dari Indonesia.
"Kita juga dapat meningkatkan jumlah penceramah motivasi terutama di sekolah seluruh negeri," katanya ketika ditemui pada Program Perasmian Penutup Konvoi Jelajah Pencinta Al-Quran 2023 di sini pada Sabtu.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru, Zulkipli Mat Yusof.
Adnan memberitahu, misi PRNNK kini sedang berusaha untuk bekerjasama dengan pusat tahfiz dan lebih ramai masyarakat di semua daerah menyertai program Rumah Ngaji.
"Kita turut merancang untuk turun padang dalam kumpulan kecil bagi menggalakan penyertaan keahlian dan pembukaan Rumah Ngaji baharu," katanya.
Sementara itu, Zulkipli dalam ucapannya berkata, usaha Rumah Ngaji perlu diteruskan melalui program berskala lebih besar selepas ini.
Tambah beliau, Rumah Ngaji menggalakkan lebih ramai masyarakat membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran.
Pada majlis sama, Amanah Raya Kota Bharu turut menyampaikan zakat kepada asnaf yang memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!