Pesawat pertama bawa kanak-kanak Gaza terima rawatan tiba di UAE

Sukarelawan mengangkat seorang kanak-kanak Palestin yang cedera keluar dari pesawat sebaik tiba di Abu Dhabi pada Sabtu. - Foto: AFP
Sukarelawan mengangkat seorang kanak-kanak Palestin yang cedera keluar dari pesawat sebaik tiba di Abu Dhabi pada Sabtu. - Foto: AFP
A
A
A

ABU DHABI - Pesawat pertama membawa seramai 15 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan keluarga mereka, tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Langkah itu sebagai sebahagian daripada inisiatif UAE dalam menyediakan rawatan perubatan untuk 1,000 kanak-kanak Palestin yang ditemani keluarga mereka dari Semenanjung Gaza.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi dari Lapangan Terbang Antarabangsa El Arish di Mesir membawa kanak-kanak yang paling memerlukan bantuan perubatan segera.

Ini termasuk mereka yang mengalami kecederaan parah dan melecur serta pesakit kanser yang memerlukan rawatan terperinci.

Penolong Menteri bagi Hal Ehwal Luar untuk Kesihatan, Maha Barakat berkata, semua hospital di UAE bersedia untuk menerima baki kanak-kanak dan keluarga mereka dalam menyediakan penjagaan komprehensif serta perkhidmatan khusus mengikut piawaian antarabangsa.

Sukarelawan mengangkat kanak-kanak Palestin yang cedera dari pesawat sebaik tiba di Abu Dhabi, selepas dipindahkan dari Gaza sebagai sebahagian daripada misi kemanusiaan UAE. -Foto: AFP
Sukarelawan mengangkat kanak-kanak Palestin yang cedera dari pesawat sebaik tiba di Abu Dhabi, selepas dipindahkan dari Gaza sebagai sebahagian daripada misi kemanusiaan UAE. -Foto: AFP

Langkah itu bagi memastikan mereka pulih sepenuhnya sebelum kembali dengan selamat, katanya.

"Sejak tercetusnya krisis, UAE segera menyediakan bantuan kemanusiaan dan bekalan kecemasan ke Semenanjung Gaza,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal ini, beliau berkata, Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan mengeluarkan arahan untuk memperuntukkan pakej bantuan kemanusiaan sebanyak AS$20 juta dan mengarahkan penubuhan hospital medan di Gaza sebagai sebahagian daripada operasi kemanusiaan 'Gallant Knight 3'.

Inisiatif membawa kanak-kanak dari Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan di UAE juga atas arahan Sheikh Mohamed.

Maha berkata, UAE telah menghantar 51 pesawat membawa 1,400 tan bekalan makanan, perubatan dan bantuan untuk menyokong usaha bantuan di Semenanjung Gaza.

Bantuan itu diselaraskan dengan organisasi-organisasi antarabangsa seperti Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Bernama-WAM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!