Pengganti Salahuddin kuasa prerogatif Perdana Menteri

Anwar (kiri) mempunyai hak dalam menentukan sebarang perubahan dalam kabinet Kerajaan Perpaduan mahupun masa sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut selepas Salahuddin (kanan) yang juga Timbalan Presiden Amanah meninggal dunia Julai lalu.
Anwar (kiri) mempunyai hak dalam menentukan sebarang perubahan dalam kabinet Kerajaan Perpaduan mahupun masa sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut selepas Salahuddin (kanan) yang juga Timbalan Presiden Amanah meninggal dunia Julai lalu.
A
A
A

JITRA - Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kepada kuasa prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan pengganti Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub bagi mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, Anwar mempunyai hak dalam menentukan sebarang perubahan dalam kabinet Kerajaan Perpaduan mahupun masa sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut selepas Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah meninggal dunia Julai lalu.

“Kerajaan ini di bawah prerogatif Perdana Menteri, terserah kepada beliau bila mahu diisi atau bagaimana dan siapa yang mahu ditukar, sama ada dari parti Amanah atau melibatkan perubahan kabinet dan seumpamanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian penutup Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Kubang Pasu di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada jawatan disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang masih belum diisi akan diputuskan selepas pemilihan Amanah yang akan diadakan Disember depan.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan sebaliknya percaya Anwar sedang menimbangkan perkara itu sebaik mungkin dalam memastikan ia membantu mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Saya fikir ada banyak pertimbangan, bukan sahaja melihat kepada satu parti politik tetapi melihat kepada keseluruhan kestabilan politik negara,” jelasnya.

Sebelum ini, Adly disebut-sebut antara calon menggantikan kekosongan ditinggalkan Allahyarham Salahuddin mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat pendarahan otak, Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!