Keluarga Sufi Syafrina sedia hadapi segala kemungkinan

Keadaan Sufi yang masih berada di unit rawatan rapi (ICU).
Keadaan Sufi yang masih berada di unit rawatan rapi (ICU).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli keluarga Sufi Syafrina Mohd Shafiq telah bersiap sedia dengan segala kemungkinan, namun tetap optimis dan berharap bayi berusia sembilan bulan itu dapat meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Bapanya, Mohd Shafiq Idrus, 38, berkata, sudah sembilan hari anak kecil itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tunku Azizah (HTA) kerana mengalami sesak nafas dan kini bergantung dengan mesin bantuan pernafasan.

Menurutnya, doktor masih berusaha sedaya upaya untuk membantu dan memberikan rawatan terbaik.

“Kita masih lagi berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan dia. Saya akui ajal dan maut di tangan ALLAH, tetapi kami tetap ikhtiar sehabis baik.

“Saya dengan isteri bersedia bila-bila masa dan terima apa sahaja kemungkinan yang berlaku.

“Setiap kali terima panggilan telefon daripada hospital, hati saya berdebar-debar dan kami sentiasa doa mohon diberikan kesembuhan.

Mohd Shafiq (tengah) bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika berkunjung ke Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Mohd Shafiq (tengah) bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika berkunjung ke Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur pada Sabtu.

“Selepas melihat keadaan Sufi hari ini, dia semakin baik dan tidak lemah seperti beberapa hari lalu,” katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan ziarah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri di sini, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis lalu, Sufi Syafrina yang menderita penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) jenis 1 telah dimasukkan ke unit ICU di HTA akibat sesak nafas.

Setakat ini, keadaan bayi tersebut stabil, namun doktor akan melakukan imbasan x-ray bagi mengesan punca pernafasannya yang agak lemah.

Mengulas lanjut, Mohd Shafiq berkata, wang sumbangan yang diberikan oleh pihak Sinar Karangkraf telah digunakan untuk membeli ubat Ridisplam, namun jumlah itu masih belum cukup untuk membiayai kos perubatan anak itu.

Jelasnya, doktor menyarankan agar Sufi Syafrina mendapatkan ubat suntikan Spinraza sebagai alternatif bagi menyembuhkan penyakit tersebut.

Ujarnya, kos ubat berkenaan mencecah hampir RM2 juta dan kini mereka masih berusaha mencari dana termasuk permohonan bantuan daripada badan korporat.

“Terima kasih kepada Sinar Karangkraf yang banyak membantu mendapatkan dana buat anak saya dan kami dapat membeli ubat untuk merawat penyakit adik Sufi.

“Doktor sarankan untuk dapatkan suntikan sebelum usianya cecah dua tahun kerana Sufi mempunyai harapan dan semangat yang kuat untuk sembuh.

“Setakat ini doktor ada cadangkan supaya membeli ubat Spinraza yang mana ia akan disuntik secara terus ke saraf tunjang.

“Saya berharap ramai pihak terutama badan korporat sudi membantu kami,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!