Penunggang motosikal langgar lubang maut digilis treler
KLANG - Seorang kerani maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lubang sebelum terjatuh dan digilis lori treler di lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru, di sini pada Sabtu.
Kejadian itu difahamkan, mangsa Syed Asnan Sayed Mokhtar, 37, dalam perjalanan dari Shah Alam ke tempat kerjanya di Pelabuhan Utara, Klang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya dimaklumkan kes terbabit kira-kira jam 9 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda RS 150R telah terlanggar lubang sebelum tercampak dan digilis treler yang membawa muatan tiang batu dari arah sama.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.
"Mayatnya telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, sebarang maklumat mengenai kemalangan terbabit boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Zulkanain Johari di talian 019-5597107.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!