Pemilihan MIC 2024: Jawatan Presiden, Timbalan tidak dipertandingkan
SERDANG - Perhimpunan Agung MIC ke-77 hari ini sebulat suara meluluskan dua resolusi termasuk tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu pada 2024.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, resolusi itu susulan usul di peringkat negeri termasuk Pahang dan Perak agar kedua-dua jawatan tidak dipertanding.
"Resolusi kedua adalah mempertimbang pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
Kedua-dua resolusi disokong oleh 1,500 perwakilan pada persidangan yang dirasmikan Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang pada Sabtu.
Saravanan, yang juga bekas Menteri Sumber Manusia, berkata MIC akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Pilihan Raya Umum ke-16.
Bagaimanapun, beliau berkata, MIC dan Vigneswaran akan memutuskan isu mengenai sokongan parti kaum India itu apabila tiba waktunya.
"Meskipun tidak mengutamakan soal jawatan tetapi MIC tidak akan berkompromi jika mana-mana pihak tidak menghormati kami,” katanya.
Saravanan juga berkata MIC adalah satu-satunya parti di negara ini yang memberikan komitmen tinggi terhadap kebajikan dan pendidikan komuniti India sejak 1946.
Mengambil Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) sebagai contoh, beliau berkata MIC akan terus membiayai pengajian pelajar India yang memerlukan dalam bentuk pinjaman dan biasiswa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!