Naik harga siling beras putih tempatan berperingkat - Cake
ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyokong cadangan menaikkan harga siling beras putih tempatan (BPT).
Bagaimanapun Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kenaikan kadar BPT wajar demi mengatasi masalah kekurangan bekalan, selain harga siling bahan makanan itu sudah lama tidak disemak dan dikaji semula.
Bagaimanapun beliau berkata, kenaikan dari RM2.60 sekilogram kepada RM3.20 sekilogram tidak boleh dilakukan secara mendadak supaya tidak memberi kesan besar khususnya kepada pengguna dan peniaga.
"Jikalau, harga beras (dinaikkan) kalau (kesan) bagi isi rumah tidak teruk sangatlah dengan (kenaikan) sebanyak 60 sen.
"Bagi, peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) juga tidak memberi kesan ketara.
"Namun, kita haraplah kalau nak naik, janganlah terlampau mendadak tetapi naiklah (secara) perlahan-lahan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Yusrizal memberitahu, kekurangan bekalan beras putih tempatan juga masih berlaku dan sukar didapati di kawasan tertentu.
Disebabkan itu, beliau percaya masalah kekurangan bekalan beras tempatan akan pulih seperti sedia kala sekiranya harga siling BPT naik sedikit berbanding sebelum ini.
"Sebelum ini, kita pernah cadang naikkan sedikit harga siling untuk pulihkan bekalan ini, sebab kita tahu pemborong,pengilang dan semua tidak mampu tampung semua (kos)," katanya.
Tambah beliau, kenaikan harga siling beras putih tempatan itu juga perlu seiring dengan kenaikan kadar gaji minimum demi membantu pengguna.
"Selain itu, apabila harga barang naik (maka) kita harap supaya kadar gaji minimum turut dikaji semula.
"Sekarang, gaji tidak naik (tetapi) harga barang naik memang rakyat marah. Kena seriring," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Yusrizal berpandangan, kenaikan harga BPT dan gula di pasaran juga tidak boleh dilakukan secara serentak.
Disebabkan itu, beliau berharap, kerajaan dapat mencari mekanisme sesuai sekiranya bercadang menaikkan harga dua barangan asas itu dalam tempoh sama supaya tidak membebankan mana-mana pihak
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan harga siling beras putih tempatan wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram untuk jaminan masa depan pihak yang terbabit dalam rantaian pengeluaran makanan ruji ini.
Pengerusi Pertubuhan Peniaga-peniaga Beras Kedah, Tan Swee Huat berkata, sudah tiba masanya polisi yang mengikat harga siling BPT selama lebih 15 tahun iaitu sejak 2008 diselaraskan semula bagi menyelesaikan kemelut pesawah, pemborong, penjual beras dan pengguna.
Ia susulan kerajaan sedang mengkaji cadangan kenaikan harga siling beras putih tempatan (BPT) daripada RM2.60 kepada RM3.20 sekilogram.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan dijalankan bersama tiga kementerian lain bagi memastikan keseimbangan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pengeluaran beras negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!