Pecah cermin kereta, samun mangsa di tengah jalan

Tangkap layar video daripada 'dashcam' menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal bertindak memecah cermin kereta dan menyamun seorang wanita di Desa Jaya, Gombak, Selangor pada Selasa.
Tangkap layar video daripada 'dashcam' menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal bertindak memecah cermin kereta dan menyamun seorang wanita di Desa Jaya, Gombak, Selangor pada Selasa.
A
A
A

GOMBAK - Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat memburu dua suspek samun yang memecahkan cermin sebuah kereta di Desa Jaya, dekat sini pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, polis menerima satu laporan berhubung kejadian samun yang berlaku pada jam 9.15 pagi di Jalan Desa 5 di sini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, kejadian samun terbabit didapati berlaku ketika mangsa yang merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 25 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Semasa sampai di tempat kejadian, datang sebuah motosikal dinaiki dua lelaki yang tidak dikenal pasti bangsanya.

"Pembonceng motosikal bertindak memecahkan cermin kereta di bahagian penumpang hadapan dan mengambil beg silang mangsa.

"Setelah memperoleh beg tersebut, kedua-duanya melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Noor Ariffin berkata, ekoran kejadian samun itu, mangsa mengalami kerugian barangan berharga.

Namun begitu katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

"Selain itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau IPD Gombak di 03-61262222," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!