Tiga dekad Che Ros mengabdikan diri dalam sukan larian
KUALA LUMPUR - Dek kerana minat yang mendalam terhadap aktiviti larian, Mohd Ros Suhaimi Mohd Taharim, 59, menyertai pelbagai acara sukan yang berkaitan dengan aktiviti kegemarannya itu secara konsisten sejak 1993 hingga kini.
Mohd Ros Suhaimi, atau lebih mesra dipanggil Che Ros menyertai pelbagai jenis larian sama ada larian jarak dekat seperti 10 kilometer (km) atau 15km mahupun larian jarak jauh seperti separuh maraton (21km) dan maraton penuh (42km), dan sehingga kini beliau telah mengumpul lebih 500 pingat larian.
Berkongsi minatnya itu kepada Bernama, Che Ros yang merupakan petugas Jabatan Penjara berpangkat sarjan mejar berkata, beliau mula berkecimpung dalam sukan larian ketika masih bekerja di Jabatan Pembangunan Koperasi (kini Suruhanjaya Koperasi Malaysia).
"Pada tahun terakhir iaitu 1993 di Jabatan Pembangunan Koperasi sebelum ditawarkan kerja di Jabatan Penjara, saya baru mula aktif dalam sukan larian kerana ada pertandingan antara agensi di bawah Kementerian Luar Bandar ketika itu.
"Jadi, masa itulah saya masuk sukan larian seperti larian jalan kaki, pecut 100 meter (m) dan 200m sebelum mencuba larian separuh maraton pertama iaitu sempena pembukaan Stadium Shah Alam pada tahun 1993. Selepas itu, menyertai sukan larian menjadi sebati dalam hidup saya,” katanya.
Berkongsi perihal konsistensinya dalam sukan itu, bapa kepada empat anak itu berkata, beliau melakukannya kerana iltizam yang tinggi ingin mewakili Jabatan Penjara Malaysia dalam setiap penganjuran kejohanan trek dan padang yang melibatkan anggota dari penjara negara Asia Tenggara lain.
Menurut Che Ros, sepanjang mewakili jabatannya sebanyak tiga kali sehingga tahun 2019, beliau pernah membawa pulang tiga pingat gangsa bagi kategori jalan kaki 10,000m, 1,500m dan 800m.
"Dalam jabatan penjara juga ramai atlet, jadi saya perlu bersaing dan mengekalkan stamina yang ada untuk dipilih mewakili jabatan terutama bagi kategori larian jarak jauh sehingga berpeluang melancong ke luar negara seperti Brunei, Singapura dan Thailand,” katanya yang pernah merekodkan catatan terbaik empat jam 35 minit bagi acara larian maraton penuh.
Ditanya pula bagaimana beliau boleh mengumpul sehingga lebih 500 pingat dalam acara larian sejak 1993, Che Ros yang berasal dari Raub, Pahang berkata, beliau akan sedaya upaya menyertai pelbagai penganjuran sukan larian yang diadakan pada setiap hujung minggu di seluruh negara.
"Jadi, aktiviti hujung minggu saya akan dipenuhi dengan acara larian, kadang-kadang dua hari berturut-turut seperti Sabtu dan Ahad, tapi sekarang apabila di usia senja tidak lagi seperti dulu, namun tetap berlari dan tumpuan banyak pada acara yang belum pernah saya sertai,” katanya.
Sementara itu pelari amatur yang juga jurulatih larian, Azwan Bunjing menyifatkan pencapaian Che Ros amat mengagumkan kerana tidak ramai pelari di Malaysia yang berupaya untuk mengekalkan tahap konsistensi bagi satu tempoh yang lama.
"Saya berharap beliau akan terus berlari untuk kekal sihat walaupun setelah bersara nanti.
"Larian atau berjalan adalah fitrah manusia dan ia boleh dikatakan adalah sukan sepanjang hayat yang boleh dilakukan pelbagai golongan bermula dari usia muda hingga tua tanpa memerlukan skil yang tinggi berbanding sukan lain,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!