Kelantan perkenal e-Bencana salur maklumat tepat, cepat tentang banjir
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menaik taraf sistem e-Banjir dengan memperkenalkan Sistem Pengurusan Bencana Negeri Kelantan (e-Bencana) bagi menyalurkan maklumat tepat dan cepat kepada masyarakat.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim berkata, ia telah secara rasminya dilancarkan pada 7 Februari lalu.
"Sistem ini melibatkan integrasi dengan sistem sedia ada yang merangkumi banyak modul termasuklah modul bantuan yang berfungsi untuk penyaluran bantuan kepada pihak yang memerlukan bantuan.
"Pembangunan aplikasi e-Bencana ini diharapkan menguruskan mangsa bencana, bekalan dan bantuan kemanusiaan semasa kejadian banjir akan menjadi lebih sistematik, mudah dan terurus dan ia menjadi One-Stop System untuk pengurusan bencana di negeri Kelantan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pakar Penasihat Wanita Kelantan 2023-2027 di sini pada Ahad.
Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Mohd Nassruddin Daud.
Menurut beliau sejajar dengan itu, empat siri taklimat dan bengkel pendaftaran penduduk dalam sistem e-Bencana diadakan kepada penggawa dan penghulu di jajahan Pasir Mas dan Tumpat bermula 24 Oktober hingga 9 November lalu.
Ujarnya, ia bagi memberi pendedahan dan merancakkan lagi pendaftaran penduduk dalam sistem e-Bencana.
Rohani memberitahu, selain persiapan teknikal, kempen-kempen kepada rakyat juga giat dijalankan melalui papan iklan elektronik, edaran risalah persiapan banjir dan pendaftaran e-Bencana serta gerakan.
"Arahan untuk semua masjid melaksanakan solat hajat juga telah dikeluarkan di seluruh Kelantan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!