PRK Kemaman: Penuntut universiti dibenar pulang mengundi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi kebenaran kepada penuntut universiti untuk pulang melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut menjadi kebiasaan dilakukan oleh kementerian itu setiap kali hari mengundi diadakan.

“Pada pilihan raya, siapa-siapa yang ada tanggungjawab dan nak balik mengundi, kami tak halang.

“Lagi pun hari mengundi pada Sabtu dan tak ada kelas,” katanya selepas merasmikan Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (USM)(1983-2023) di Kubang Kerian di sini, pada Ahad.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon, manakala Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili Pas yang perlu mempertahankan kemenangan pada PRU15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini sebagai tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember bagi hari mengundi.

PRK tersebut diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pada PRU15, Parlimen itu menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Dua lagi calon pada PRU15 ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan yang memperoleh 8,340 undi dan Rosli Ab Ghani daripada Parti Pejuang Tanah Air meraih 506 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!