Nyaris putus tangan, tersepit mesin proses ayam
IPOH - Seorang lelaki nyaris putus tangan kiri selepas tersepit dalam mesin memproses ayam di Pasar Jelapang Kampung Baru Jelapang dekat sini pada Ahad.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya pada jam 11.31 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarozi Nor Ahmad berkata, maklumat awal memaklumkan, kejadian melibatkan warga tempatan berusia 33 tahun.
"Anggota menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit dalam mesin tersebut.
"Setelah tangan berjaya dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut beliau, mangsa yang mengalami kecederaan teruk di bahagian tangan telah dihantar ke hospital.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.12 tengah hari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!