Bayar awal zakat, sertai kempen YEZ 2023 PPZ-MAIWP

Abdul Hakim Amir (dua dari kanan) ketika pelancaran Kempen YEZ 2023 PPZ-MAIWP di Kepong, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Abdul Hakim Amir (dua dari kanan) ketika pelancaran Kempen YEZ 2023 PPZ-MAIWP di Kepong, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyeru umat Islam menyegerakan bayaran zakat sebelum 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, mereka yang membayar zakat bermula 18 November hingga hujung tahun ini berpeluang menikmati rebat cukai pendapatan selain menikmati pelbagai tawaran hadiah menarik sempena Kempen Year End Zakat (YEZ) 2023.

Menurutnya, sebagai galakan dan penghargaan, pelbagai pengisian disediakan kepada para pembayar zakat antaranya tawaran 1,000 hadiah menarik seperti pakej umrah, telefon pintar dan peralatan dapur Thermomix sepanjang tempoh kempen.

"Bertemakan ‘Makna Kaya Sebenar’, kami ingin mengajak masyarakat untuk tidak menilai kejayaan dengan hanya memiliki harta dan material mewah yang melimpah ruah.

"Sebaliknya, kekayaan sebenar adalah terletak di dalam hati, apabila kita memberi dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan," katanya pada pelancaran Kempen YEZ 2023 di Taman Metropolitan, Kepong, di sini pada Sabtu.

Seorang Sahabat Zakat PPZ-MAIWP (kiri) menerima replika kunci motosikal daripada Abdul Hakim Amir (kanan) sempena Kempen YEZ 2023.
Seorang Sahabat Zakat PPZ-MAIWP (kiri) menerima replika kunci motosikal daripada Abdul Hakim Amir (kanan) sempena Kempen YEZ 2023.

Majlis pelancaran itu turut diadakan program Fit Zakat 2023 yang bertujuan memupuk gaya hidup sihat sambil memberikan kesedaran berzakat kepada masyarakat menerusi Kempen YEZ.

Dalam pada itu, Abdul Hakim memberitahu bahawa PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1 bilion tahun ini dengan sejumlah RM688.7 juta telah berjaya dikutip sehingga Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH dalam tempoh dua bulan lagi, PPZ-MAIWP memerlukan RM312 juta lagi bagi mencapai sasaran tersebut.

“Angka ini tidak mudah dicapai, ia memerlukan usaha keras dan berterusan serta sokongan daripada masyarakat Islam yang layak berzakat untuk tampil menunaikan kewajipan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penyaluran zakat, beliau memaklumkan ketika ini bilangan penerima yang dibantu secara bulanan mencecah lebih 30,200 ketua keluarga.

Jumlah itu katanya dijangka akan meningkat kepada 37,000 ketua keluarga pada tahun 2024.

"Kutipan zakat ini penting agar golongan asnaf dan miskin bandar dapat menikmati manfaat untuk kelangsungan hidup di tengah kota metropolitan," jelas beliau.

Sepanjang bulan Disember, 10 kaunter PPZ-MAIWP akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4.45 petang pada setiap hari termasuk pada hari cuti umum. Bagi minggu terakhir Disember ini, kaunter PPZ-MAIWP akan dibuka sehingga jam 9 malam.

Selain itu, para pembayar zakat juga boleh menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan menggunakan kemudahan pembayaran dalam talian menerusi portal zakat.com.my, aplikasi MyZakat, perbankan internet serta ejen rasmi yang dilantik PPZ-MAIWP.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!