KPDN sasar 10,000 mahasiswa Kedah sertai Program Advokasi Pengguna

Fuziah (kanan) menunjukkan antara barangan yang terdapat di Program Jualan Rahmah Siswa di Institut Kemahiran Belia Negara pada Ahad.
Fuziah (kanan) menunjukkan antara barangan yang terdapat di Program Jualan Rahmah Siswa di Institut Kemahiran Belia Negara pada Ahad.
A
A
A

KUBANG PASU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan 10,000 pelajar menyertai Program Advokasi Pengguna Peringkat Kebangsaan Bersama Institut Pengajian Tinggi.

Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata, pihaknya menyasarkan program terbabit tercatat dalam Malaysia Book Of Records sebagai penglibatan mahasiswa paling ramai.

"10,000 pelajar ini di Kedah sahaja dengan penglibatan 20 ïnstitut pengajian tinggi (IPT).

"Ia bermula pada hari ini (Ahad) dan kita target maksimum tiga bulan untuk capai sasaran 10,000 pelajar tersebut," katanya ketika ditemui di Program Jualan Rahmah Siswa dan Program Advokasi Pengguna Peringkat Kebangsaan Bersama Institut Pengajian Tinggi di Institut Kemahiran Belia Negara di sini pada Ahad.

Menurutnya, program advokasi itu memberi pencerahan kepada mahasiswa berkaitan hak-hak sebagai pengguna termasuk khidmat Tribunal Tuntutan Pengguna dan penguatkuasaan akta-akta berkaitan kepenggunaan.

"Dalam masa sama kita buat Program Jualan Rahmah Siswa, yang mana Jualan Rahmah ini penting kerana mahasiswa juga dalam golongan memerlukan dan ramai daripada kalangan B40, keluarga kurang bernasib baik.

"Bila buat program Rahmah (di luar kampus), ada permintaan daripada mahasiswa untuk adakan jualan dalam kampus kerana selalunya dalam Jualan Rahmah harga ditawarkan sehingga 30 peratus diskaun," katanya.

Sementara itu, berkaitan perkembangan pelaksanaan apungan harga ayam, Fuziah berkata, setakat ini pemantauan masih diadakan setiap hari di empat kategori premis iaitu pasar basah, kedai runcit, hypermarket dan mini market.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapati seluruh negara harga ayam masih kekal rendah.Ada aduan di utara Sarawak, laporan di Limbang dan Lawas kita dah buat siasatan sama ada berlaku pencatutan di situ. Tapi rata-rata kita dapati harga ayam stabil dan kekal rendah iaitu di bawah harga RM9," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!