Penternak bina kandang di kawasan bukit elak banjir
KUALA KRAI - Hujan berterusan sejak Jumaat lepas menyebabkan kira-kira 10 penternak di sekitar Kuala Krai mula membuat persediaan bagi menghadapi kemungkinan banjir dengan mengalih haiwan peliharaan mereka ke kawasan selamat.
Penternak lembu, Mohd Sekeri Mat Shah, 63, dari Kampung Batu Mengkebang berkata, bagi mengelak perkara tidak diingini semasa musim Monsun Timur Laut, beliau membina kandang sementara di atas bukit untuk menempatkan 15 lembu peliharaannya.
"Setiap kali musim tengkujuh, saya akan alih lembu-lembu yang biasanya berada berdekatan sungai ke tempat lebih tinggi.
"Apabila hujan kita tidak boleh jangka paras sungai akan naik secara mendadak atau tidak, sebab itu saya bina kandang sementara untuk lembu-lembu ini berteduh," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.
Penternak biri-biri di Kampung Tengah, Rosli Abd Ghani, 62, berkata, walaupun empat biri-birinya ditambat di kawasan berumput, langkah berjaga-jaga perlu diberi keutamaan memandangkan kawasan itu berdekatan sawah dan aliran sungai.
"Saya akan sentiasa pantau situasi semasa seperti cuaca dan sebagainya, jika hujan lebat saya akan pastikan biri-biri ini tidak keluar dari kandang, malah akan cerut rumput untuk bekalan makanan. Saya juga sudah kenal pasti kawasan yang sesuai untuk tempatkan biri-biri ini jika dinaiki air.
"Musibah banjir yang berlaku di Kuala Krai sebelum ini banyak beri pengajaran kepada saya untuk lebih bersedia dengan segala kemungkinan apabila musim tengkujuh melanda," katanya.
Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran kemungkinan banjir melibatkan dua jajahan di Kelantan iaitu Tanah Merah dan Pasir Mas bermula awal pagi hari ini sekiranya hujan terus berlaku. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!