Ajal 'ditarik' pasir jerlus
HULU TERENGGANU - Seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Cheting, Kuala Berang ditemukan lemas ketika mandi bersama tiga saudaranya di tepi Sungai Sekayu, Kampung Sekayu, Kuala Berang, di sini, semalam.
Mayat Nur Iman Afiq Roshaizad, 12, yang berasal dari Kampung Kuala Menjing Tersat, Kuala Berang, di sini ditemui kira-kira jam 12.10 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa dikatakan mandi bersama tiga lagi saudaranya dari Permatang Pauh, Pulau Pinang di lokasi kira-kira jam 11 pagi.
Katanya, setengah jam kemudian, mangsa bersama dua saudaranya, Muhamad Hakimi Mohd Danial, 14 dan Muhamad Nur Fikri Mohd Danial, 10, hendak naik ke tebing sungai.
"Difahamkan dalam masa sama mereka terpijak pasir jerlus lalu tenggelam, tetapi sebelum itu, Muhamad Nur Fikri berjaya menarik tangan kiri mangsa manakala Muhamad Hakimi menarik tangan adiknya.
"Namun, difahamkan Muhamad Nur Fikri terlepas pegangan tangan sebelum mangsa tenggelam dan ketika itu seorang lagi saudaranya, Mohd Danial Muda, 58, yang berada di seberang sungai berusaha mencari mangsa tetapi gagal.
"Bimbang perkara tidak diingini berlaku, Mohd Danial terus menghubungi ibu mangsa menggunakan telefon bimbitnya memaklumkan kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Adli berkata, selepas dimaklumkan kejadian menimpa mangsa, gerakan mencari dan menyelamat dijalankan segera oleh sekumpulan penduduk kampung termasuk ayah mangsa, Roshaizad Mamat, 50.
"Hampir setengah jam mencari di sekitar lokasi kejadian iaitu kira-kira jam 12.10 tengah hari, Roshaizad ternampak anaknya timbul di permukaan air dan terus membawa mangsa ke Hospital Hulu Terengganu dengan ambulans.
"Bagaimanapun doktor yang bertugas di wad kecemasan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.
Jelasnya, siasatan awal di sekitar lokasi mendapati keluasan sungai lebih kurang 25 kaki dan ketika itu air sungai mengalir agak deras selain sebelah kiri sungai (berhampiran tempat kejadian) terdapat kawasan berpasir.
"Kita dapati jarak tempat kejadian ialah kira-kira 15 kaki dari tebing sungai dan merupakan kawasan berselut serta berpasir selain terdapat putaran air yang kedalamannya lebih kurang tujuh kaki," katanya.
Mohd Adli turut menjelaskan pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang kecederaan disebabkan perbuatan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!