Keterujaan lawat keluarga mentua di Gaza bertukar jadi mimpi ngeri - Nurul Ain
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang sebelum ini terkandas di Palestin tidak menyangka kegembiraan bertemu keluarga mentua buat kali pertama bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Israel sekali lagi menyerang Gaza pada 7 Oktober lalu.
Menurutnya, keterujaan untuk berkenalan dengan keluarga mentua telah membuatkan dia lupa bahawa tempat kelahiran suami, Mohamed A Shaat, 33, itu sering berdepan dengan konflik perang.
“Sebaik sahaja menjejakkan kaki di bumi Palestin pada 1 Oktober lalu, saya begitu gembira kerana dapat melihat keindahan Gaza. Lebih menyeronokkan apabila keluarga belah suami sambut kehadiran kami dengan begitu meriah ibarat pengantin baharu.
“Alhamdulillah, dalam tempoh itu, saya dan suami sempat keluar bersama menikmati janji temu makan tengah hari. Bukan itu sahaja, saya juga berkesempatan keluar dengan ipar duai makan aiskrim.
“Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak berpanjangan apabila Gaza sekali lagi diserang. Malam kami jadi sunyi, gelap dan menakutkan kerana ketiadaan elektrik dan air,” katanya.
Dia berkata demikian ketika Program Sinar Live bertajuk ‘kisah Gaza yang belum diceritakan’ yang dihoskan oleh Haizir Othman pada Ahad.
Pada 14 November lalu, Nurul Ain dan suami telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah terkandas lebih 42 hari di wilayah berkenaan.
Mengulas lanjut, Nurul Ain memberitahu, melihat kepada keadaan semasa Gaza sebelum 7 Oktober itu, dia sama sekali tidak pernah terfikir untuk berhadapan dengan situasi yang mendebarkan itu.
Bukan itu sahaja, Nurul Ain bahkan mempersoalkan keindahan Gaza yang seolah-olah bukan wilayah perang kerana ia terlihat sungguh mewah.
“Saya tidak menyangka dapat menyaksikan perubahan Gaza yang pada mula merupakan wilayah cantik, namun dalam sekelip mata bertukar menjadi kawasan menakutkan.
“Ayah mentua saya mengesahkan bahawa peperangan ini merupakan antara yang terburuk dalam sejarah kerana hari pertama konflik berlaku, Gaza sudah bergelap dan tiada sumber air,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nurul Ain yang bekerja sebagai pembantu doktor gigi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut berkongsi cerita tentang ketabahan rakyat Gaza berdepan dengan serangan bom.
Nurul Ain berkata, dia begitu mengagumi rakyat Palestin kerana sentiasa berada dalam keadaan bersedia jika diserang rejim Zionis.
“Saya pernah tanya kepada baba jika dia mempunyai peluang besar untuk meninggalkan tanah Gaza, adakah dia sanggup untuk keluar?
“Bagaimanapun, baba menjelaskan bahawa dia sama sekali tidak akan meninggalkan Gaza. Dia (baba) akan bersama-sama dengan rakyat Palestin lain untuk mempertahankan tanah (Gaza) ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!