Pengerusi Bersih letak jawatan, akui tak mampu pimpin jawatankuasa
SHAH ALAM - Thomas Fann meletak jawatan sebagai Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dengan memberikan notis dua bulan susulan mengakui tidak mampu untuk memimpin jawatankuasa berkenaan yang sudah dibahagikan.
Thomas berkata, pasukannya berkempen untuk membawa Bersih sebagai Institusi Rakyat, manakala bekas Pengerusi Persatuan Pemuda Baru (UMANY), Wong Yan Ke mendesak untuk mengembalikan semula Bersih menjadi Gerakan Rakyat.
“Penolakan terhadap pasukan saya yang diketuai mantan bendahari, Ngeow Chow Ying oleh majoriti badan bukan kerajaan (NGO) dalam pemilihan menyaksikan rekod penyertaan sebanyak 50 daripada 60 Endorsing NGO bersamaan 83.3 peratus.
“Ia adalah mesej jelas bahawa visi dan arah saya untuk Bersih ditolak, undi tersebut adalah undi tidak percaya. Saya melihat dua visi untuk Bersih yang berlawanan ini, satu digerakkan oleh pengerusi dan satu lagi timbalannya.
“Meskipun pasukan Yan Ke dengan empat kerusi dalam sembilan Jawatankuasa Pemandu tidak semestinya mewakili majoriti, beliau mempunyai mandat majoriti Endorsing NGO yang telah mengundi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Thomas memaklumkan, Gerakan Rakyat hanya dapat berkembang sekiranya terdapat gelombang sokongan untuk sesuatu idea dalam jumlah yang besar oleh sesebuah populasi.
Tambah beliau, keberadaan Bersih sebagai Gerakan Rakyat berhenti pada 10 Mei 2018, sehari selepas PRU14 boleh dianggap sama ada ‘tutup kedai’, berubah menjadi parti politik atau sebagai institusi advokasi untuk bergerak mendepani perubahan rejim dan sistem.
“Sesuatu gerakan hanya boleh menjadi Gerakan Rakyat jika ada rakyat di belakangnya. Kehilangan momentum atau sokongan adalah normal kerana seperti kebanyakan gerakan rakyat, ia takkan mampu bertahan untuk beberapa tahun malah ada yang hanya beberapa bulan.
“Saya tidak mempunyai ilusi bahawa kejayaan Bersih sebelum ini sebagai Gerakan Rakyat adalah disebabkan usaha jawatankuasa atau NGO semata-mata.
“Sebaliknya, ia adalah kerana sokongan rakyat yang kita terima untuk mendesak perubahan pada ketika itu, Bersih hanyalah perkakas dalam sejarah, membuat perkara betul pada waktu tepat, musim tersebut berlalu sejak sekian lama,” ujarnya.
Bagaimanapun, Thomas mengakui menerima keputusan Pemilihan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2023-2025 bahawa kebanyakan Endorsing NGO mahu melihat ia sebagai Gerakan Rakyat.
Menurutnya lagi, beliau akan berganjak dan memberi ruang kepada pembentukan jawatankuasa dengan pemilihan Pengerusi baharu yang akan membawa aspirasi berkenaan.
“Saya rasa adil kepada Yan Ke dan pasukannya yang terdiri daripada pemimpin muda dan veteran untuk terus komited mengembalikan Bersih sebagai Gerakan Rakyat serta bebas membawanya untuk dua tahun lagi.
“Ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada sekretariat Bersih yang tanpa mereka Bersih tidak dapat mengecapi pencapaian sekarang. Sebagai pengerusi yang bakal berhenti, saya akan berada mod sementara, tidak akan membuat sebarang keputusan dasar atau melancarkan kempen baru.
“Saya mendoakan yang terbaik kepada jawatankuasa pemandu dan bakal pengerusi dipilih kelak. Dalam Bersih, kita bergelut demi idea bukan kuasa,” jelas Thomas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!