Jualan Rahmah diperluas ke kawasan pedalaman - Ahmad Maslan

Ahmad ( kanan) menunjukkan bekalan minyak paket bersubsidi ketika melakukan tinjauan di sebuah pasar raya di daerah ini pada Ahad.
Ahmad ( kanan) menunjukkan bekalan minyak paket bersubsidi ketika melakukan tinjauan di sebuah pasar raya di daerah ini pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Jualan Rahmah perlu diadakan setiap minggu dengan diperluaskan di kawasan pedalaman bagi menangani isu kekurangan barangan keperluan di kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, masyarakat luar bandar menunggu Jualan Rahmah diadakan di kawasan mereka dan bukannya diadakan di kawasan pekan atau bandar sahaja.

Jelasnya, langkah tersebut memudahkan penduduk mendapatkan barang keperluan dengan lebih mudah tanpa perlu ke pekan atau bandar selain harganya juga lebih rendah.

"Jualan Rahmah perlu diperbanyakkan lagi dengan kerjasama pasar raya besar. Saya mengesyorkan agar ia diadakan setiap minggu di kawasan pedalaman di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah buat keputusan supaya Jualan Rahmah diperluaskan di peringkat DUN. Pelaksanaan Jualan Rahmah juga perlu diadakan di kawasan pedalaman, kita boleh gunakan kemudahan dewan terbuka atau balai raya bagi menjayakan inisiatif ini," jelasnya.

Ahmad (dua dari kanan) meninjau bekalan beras di sebuah pasar raya di daerah Pontian pada Ahad.
Ahmad (dua dari kanan) meninjau bekalan beras di sebuah pasar raya di daerah Pontian pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan barang keperluan di sekitar Pontian, pada Ahad.

Program Jualan Rahmah dilaporkan mula diperkenalkan KPDN bermula Januari lalu, dengan sejumlah 1,133 lokasi telah terbabit di seluruh negara ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri kemudian melancarkan Program Jualan Rahmah Bergerak buat pertama kalinya pada 16 Jun lalu dan dilaporkan telah berjaya dilaksanakan di 396 lokasi di seluruh negara.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan menyediakan RM200 juta untuk meneruskan Payung Rahmah sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menerusi tinjauan dilakukannya di lokasi di daerah ini mendapati bekalan beras putih tempatan (BPT), gula dan minyak masak bersubsidi perlu ditambah bagi menjadi pilihan pengguna.

"Apa yang saya perhatikan BPT perlu ditambah, bukan tiada tetapi perlu ditambah lagi.

"Begitu juga gula ada sedikit dan minyak masak bersubsidi juga sedikit. Ia tidak terputus terus, namun perlu ditambah lagi kuantitinya di pasaran bagi keselesaan rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!