Muhyiddin kritik pentadbiran Anwar
KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dilihat gagal untuk menyelesaikan beberapa masalah di negara ini termasuk harga barang.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil dan kos sara hidup yang melambung ketika ini sewajarnya isu berkaitan rakyat menjadi keutamaan kerajaan.
"Kalau tanya saya, saya akan prejudis kerana saya pembangkang tapi (kalau) tanya rakyat di bawah apa yang dibawa (dilakukan oleh kerajaan)? Perkara yang mudah, hendak selesaikan masalah harga barang itu saya tahu bukan mudah.
"Tapi bekalan beras tidak cukup tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita. Mana pergi beras? Kalau ada orang sorok, tangkaplah. (Ini) Menteri pun tidak ada.
"Ia menggambarkan kerajaan gagal untuk benar-benar memahami isu yang dihadapi rakyat. Isu Melayu, Cina, India... apa dia perkara pokok (kena fahami di situ).
"Lepas pandemik Covid-19 berlalu, patut kita buat, waktu zaman saya ada usaha untuk memulihkan cepat (tapi) dia tidak buat," katanya ketika Wawancara Eksklusif Bersama Sinar Harian di pejabatnya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi setahun Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut membidas pentadbiran Anwar yang sebelum ini pernah melabelnya sebagai kerajaan yang gagal.
"Dulu waktu saya (jadi Perdana Menteri) dia (Anwar) kata gagal tapi badan dunia perakui tindakan kerajaan PN (waktu itu dalam) menguruskan masalah Covid-19 antara yang terbaik di dunia.
"(Tetapi) Mana ada badan dunia yang boleh perakui bahawa Anwar Ibrahim dalam setahun sudah menjadi Perdana Menteri yang cukup berkesan," katanya.
Tambahnya, perkara yang dibangkitkan itu bukan semata-mata suara beliau sebagai pembangkang tetapi realiti sebenar yang dihadapi rakyat di bawah.
Ini kerana katanya, rakyat tidak melihat kerajaan yang ada ketika ini benar-benar memahami permasalahan yang dihadapi mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!