Pelakon Gerak Khas, Shaharon Anuar terlibat nahas 3 kenderaan

Keadaan kemalangan di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang dekat Batu Gajah pada Sabtu yang turut melibatkan kenderaan dinaiki Shaharon Anuar dan isteri. - Foto: Polis
Keadaan kemalangan di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang dekat Batu Gajah pada Sabtu yang turut melibatkan kenderaan dinaiki Shaharon Anuar dan isteri. - Foto: Polis
A
A
A

BATU GAJAH - Bekas pegawai polis yang pernah membintangi drama popular Gerak Khas, Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang dekat sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 3.15 petang, bekas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Kuala Lumpur itu dan isteri, Datin Norasmariah Basri dalam perjalanan dari arah Batu Gajah menghala Tanjung Tualang.

Kedua-duanya yang menaiki kereta jenis Proton Perdana dilaporkan selamat, hanya mengalami sakit di bahagian dada dan telah dirujuk ke Perak Community Specialist Hospital (PCSH) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, nahas turut membabitkan kereta jenis Perodua Kancil dipandu seorang lelaki dan sebuah Perodua Kelisa dinaiki empat sekeluarga.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian bermula ketika kereta Perodua Kelisa dari arah Tanjung Tualang menghala Batu Gajah memperlahankan kenderaan untuk membelok ke simpang kanan.

Tangkap layar rakaman CCTV kelihatan Shaharon Anuar dan isteri keluar dari kenderaan sejurus pelanggaran dan membantu mengeluarkan mangsa dari kereta Kelisa yang remuk.
Tangkap layar rakaman CCTV kelihatan Shaharon Anuar dan isteri keluar dari kenderaan sejurus pelanggaran dan membantu mengeluarkan mangsa dari kereta Kelisa yang remuk.

"Keadaan itu mengakibatkan kereta Kancil yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang kenderaan itu.

"Akibat pelanggaran, Perodua Kelisa masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Perdana," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemandu Perodua Kancil, berusia 29 tahun dilaporkan mengalami sakit di dada.

Katanya, pemandu Perodua Kelisa berusia 38 tahun bersama isteri, 34, dan dua anak berusia setahun dan 8 tahun masing-masing cedera di dada, pinggang dan bahagian kepala.

"Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan.

"Siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Rakaman nahas berkenaan telah tular di media sosial dipercayai hasil rakaman litar tertutup (CCTV) milik sebuah premis.

Menerusi video berdurasi 1 minit dan 19 saat itu, kelihatan Shaharon Anuar dan isteri keluar dari kenderaan sejurus pelanggaran dan membantu mengeluarkan mangsa dari kereta Kelisa yang remuk.

Tindakan itu mendapat pujian kalangan warga net yang menyifatkan keperibadian tinggi seorang bekas pegawai polis dalam usaha menyelamatkan nyawa masyarakat meskipun diri terlibat kemalangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!