Penganjuran konsert Coldplay tanda tidak sensitif isu Gaza - PUM

PUM gesa konsert Coldplay dibatalkan serta-merta.
PUM gesa konsert Coldplay dibatalkan serta-merta.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur dibatalkan serta-merta.

Ketua Pemuda PUM, Dr Muhamad Alihanfiah Norasid berkata, desakan dibuat kerana ia seolah-olah tidak sensitif terhadap keadaan yang berlaku di Gaza, Palestin.

Menurutnya, penganjuran konsert secara tidak langsung akan mengheret rakyat Malaysia khususnya anak muda untuk hilang rasa empati dengan jenayah kemanusiaan.

“Harga tiket konsert yang ditempah menjadi galang ganti kepada kemusnahan, penindasan dan pembunuhan beramai-ramai di Palestin khasnya di Semenanjung Gaza.

“Bukalah mata dan bangkitlah saat saudara kita di Gaza sedang dibedil dan dibantai dengan penuh rakus.

"Sementara itu, sebahagian umat Islam masih hanyut dibuai mimpi dan kealpaan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah menegaskan, konsert Coldplay sebagai program melalaikan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai tidak memberi sokongan kepada penganjuran konsert berkenaan yang dikatakan jelas bertentangan nilai murni dan budaya di negara ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Alihanfiah memaklumkan penganjuran konsert itu boleh mengundang kemurkaan ALLAH SWT.

Beliau berkata, kemungkaran yang tidak dicegah akan mengakibatkan bala bencana dan tidak hanya berlaku ke atas orang pelaku dosa semata-mata.

“Hiburan dalam Islam mempunyai garis sempadannya yang perlu dipatuhi.

"Penganjuran konsert Coldplay dilihat telah melewati garis sempadan Islam sekali gus bertentangan dengan hukum syarak.

“Masyarakat dinasihatkan agar tidak memberi sokongan terhadap program sebegini kerana boleh mencemarkan minda umat Islam dengan hiburan melampau,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!