Pesakit kudung terpaksa 'jalan kaki' tinggalkan Hospital Al-Shifa
BANDAR GAZA - "Hospital terbesar di wilayah Gaza kini menjadi zon kematian."
Amaran itu diberikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad ketika ia mengumumkan rancangan pemindahan segera di kompleks perubatan Al-Shifa tersebut setelah tentera Israel memperhebatkan lagi kempen pencerobohan untuk menghapuskan Hamas.
Penilaian itu dibuat berdasarkan pemerhatian dilakukan wakil mereka dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke hospital berkenaan yang terkejut setelah melihat 'kubur besar' di pintu masuk selain hampir 300 pesakit bersama 25 staf terperangkap di premis tersebut.
Pada Sabtu, ratusan orang awam termasuk mangsa cedera yang sebahagiannya kudung anggota tubuh dan pesakit meninggalkan Al-Shifa dengan berjalan kaki setelah letupan kuat menggegar sekitar kompleks berkenaan.
Dalam kejadian berasingan, lebih 80 termasuk kanak-kanak terkorban dalam serangan berkembar dilancarkan ke atas kem pelarian Jabalia dan sekolah kendalian PBB yang menempatkan penduduk hilang tempat tinggal di utara Gaza.
Ketua Agensi Kerja dan Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menyifatkan serangan itu sebagai mengerikan manakala Mesir mendakwa ia satu bentuk jenayah perang dan penghinaan disengajakan terhadap PBB.
Kempen pengeboman yang semakin ganas sejak enam minggu lalu telah meragut sekurang-kurangnya 12,300 nyawa termasuk lebih 5,000 kanak-kanak.
Selain itu, kira-kira 1.6 juta penduduk hilang tempat tinggal di wilayah Gaza setelah rejim Zionis kini memperluaskan kempen pencerobohan mereka. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!