Allianz mahu terus cungkil bakat baharu

Sean Wang bergambar bersama barisan pemenang AJBC 2023 di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto Bernama
Sean Wang bergambar bersama barisan pemenang AJBC 2023 di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

ALLIANZ Malaysia Berhad bersedia meneruskan penganjuran Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) pada tahun akan datang dalam misi mencungkil bakat baharu sukan badminton tanah air dalam kalangan generasi muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata, ia selepas melihat penyertaan dalam AJBC yang memberi peluang pemain muda membuktikan kemampuan mereka pada tahun ini semakin meningkat berbanding edisi pertama yang dianjurkan pada tahun lepas.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan dengan yuran percuma akan diteruskan pada masa akan datang dalam usaha mencari bakat baru sekali gus memberi peluang pemain muda yang tidak berkemampuan menyertai kejohanan badminton.

"Dari mula kejohanan ini memang untuk mencungkil bakat sebab tu kami anjurkan (dengan) yuran percuma, kita memang mahu cari bakat dari akar umbi. Kita bagi peluang kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai kemampuan sertai kejohanan.

Kalau boleh kita nak buat daripada kejohanan AJBC mampu lahirkan pemenang yang mampu menyarung jersi kebangsaan sebab pemenang juga menerima hadiah wang tunai dan geran untuk mereka tampung perbelanjaan untuk majukan diri mereka," katanya kepada pemberita pada perlawanan akhir AJBC di Kompleks Sukan Bukit Kiara di Kuala Lumpur pada Ahad.

Lebih 2,600 pemain telah menyertai pusingan kelayakan AJBC yang diadakan di 10 lokasi seluruh Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak bermula Julai lepas dengan seramai 183 peserta layak ke pusingan akhir hari ini.

Wang berkata, peningkatan penyertaan bagi kejohanan yang berkolaborasi dengan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu menunjukkan minat besar terhadap sukan itu dalam kalangan anak muda.

Sebanyak empat kategori iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan perempuan dan beregu perempuan dipertandingkan dalam kategori umur bawah 13 tahun (B-13) dan bawah 15 tahun (B-15).

Artikel Berkaitan:

Allianz Malaysia turut memperuntukkan sebanyak RM2,000 geran khas selain RM1,000 sebagai hadiah wang tunai bagi pemenang setiap kategori AJBC. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!