Lemas ketika ambil bola dalam tasik
SHAH ALAM - Seorang pemain Sarban FC meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian di Tasik Eco Ardence Setia Alam, di sini, malam tadi.
Sebelum kejadian kira-kira jam 10 malam, mangsa, Khairul Anuar Hashim, 26, dikatakan sedang bermain bola sepak bersama rakan di padang bersebelahan tasik berkenaan.
Difahamkan bola yang digunakan terjatuh ke dalam tasik menyebabkan mangsa cuba untuk mendapatkannya.
Tindakan mangsa turun ke tasik membawa padah apabila dia kemudiannya ditemukan lemas.
Rakan mangsa serta orang awam yang berada di lokasi kejadian cuba untuk menyelamatkannya, namun gagal kerana keadaan sekitar tasik yang gelap menyukarkan usaha itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 11.22 malam, sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi.
Beliau berkata, ketika pihaknya tiba, pasukan bomba sudah berada di lokasi untuk operasi menyelamat mangsa.
"Mayat mangsa berjaya ditemui oleh bomba pada jam 2.40 pagi ini.
"Mayatnya kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan dijangka dibedah siasat pada jam 9 pagi ini, " atanya.
Dalam perkembangan sama, adik mangsa menerusi ciapan di Twitter memaklumkan mayat abangnya ditemui jam 2.37 pagi tadi dan turut berterima kasih kepada semua yang mendoakan agar mayat abangnya segera ditemui.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!