Cerita A&W dan sebuah pengkhianatan
SUDAH pastilah beberapa hari lalu hangat dengan kisah A&W. Bukan restoran makanan segera itu tetapi kisah Agus dan Wahab.
Rasanya semua orang sudah tahu, jadi tak perlulah Merak Jalanan nak kupas satu persatu kisah mereka walaupun banyak juga persoalan yang berlegar selepas sidang akhbar diadakan.
Antaranya diakui oleh Wahab sendiri bahawa video itu adalah betul cuma perbualan sahaja disunting.
Wahab atau nama penuhnya, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani juga mengakui dia diarah oleh Mr H untuk menjatuhkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Jadi kesudahannya lebih banyak persoalan berbanding jawapan yang diberikan.
Fuhh, apabila asyik fikir fasal A&W ini, rasanya macam sudah jadi penyiasat persendirian pula.
Kertas siasatan katanya telah pun dibuka. Jadi kita tunggu sahajalah hasil siasatan tersebut. Apakah Wahab akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya dengan kejadian ini?
Bagaimana pandangan masyarakat terhadap Agus dan paling penting siapa agaknya Mr H? Teringin juga nak tahu.
Okeylah, sementara menanti keputusan siasatan, apa yang membuatkan Merak Jalanan berasa takut pada masa kini adalah kepercayaan dan tikam belakang.
Dalam dunia yang semakin menggila sekarang ini, Merak Jalanan nak nasihatkan, silalah amalkan konsep nak percaya boleh tetapi jangan 100 peratus pada sesiapa pun waima kawan paling rapat sekalipun.
Betullah duit, pangkat dan wanita boleh membuatkan seseorang itu terlalu melebih-lebihkan dunia sehingga terlupa segala-galanya dan sanggup pula menikam belakang orang lain walaupun orang itu yang memberi makan.
Agus bukanlah individu pertama yang pernah mengalami situasi ini, malah banyak juga tokoh-tokoh dan pemimpin pernah jadi mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!