Hospital boleh jadi sasaran sah tentera?

Ribuan orang awam yang hilang tempat tinggal turut menjadikan hospital sekitar wilayah itu sebagai tempat berlindung.
Ribuan orang awam yang hilang tempat tinggal turut menjadikan hospital sekitar wilayah itu sebagai tempat berlindung.
A
A
A

BANDAR GAZA - Kempen pencerobohan ganas dilancarkan rejim Zionis ke atas hospital terbesar di Genting Gaza atas alasan menyasarkan ‘kubu’ Hamas telah mencetuskan gelombang kecaman antarabangsa malah Qatar menyifatkan ia sebagai satu bentuk jenayah perang.

Israel bagaimanapun mempertahankan tindakan tidak berperikemanusiaan mereka dengan menyatakan operasi itu kononnya tidak melanggar garis panduan undang-undang antarabangsa.

Tetapi, adakah kompleks perubatan boleh dianggap sebagai sasaran tentera yang sah?

“Konvensyen Geneva yang diterima pakai selepas Perang Dunia Kedua membentuk teras undang-undang kemanusiaan antarabangsa terutamanya berkaitan bab melindungi hospital awam,” jelas pakar undang-undang kemanusiaan antarabangsa di Lyon-3 University di tenggara Perancis, Mathilde Philip-Gay.

Menurutnya, tindakan mana-mana pihak menjadikan hospital awam yang diiktiraf kepada zon konflik adalah perkara yang dilarang sama sekali.

“Ia juga melarang perbuatan untuk menjadikan pesakit, mangsa cedera dan orang awam sebagai perisai manusia. Tindakan itu jelas jenayah perang kerana pertempuran berlaku di dalam kompleks perubatan,” tegasnya lagi.

Artikel 8 Statut Rom yang menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague mentakrifkan senarai panjang jenayah perang termasuk tindakan sengaja mengarahkan serangan ke atas bangunan yang menjadi simbol agama, institusi pendidikan, pusat seni, sains atau untuk tujuan amal serta monumen bersejarah, hospital dan lokasi yang menempatkan pesakit serta mangsa cedera.

Tetapi, ia membuat pengecualian jika sasaran adalah untuk mencapai ‘objektif ketenteraan’ seperti kempen pencerobohan yang dilakukan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sejak awal minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Abla Zaanoun, 5, yang melecur akibat serangan Israel mendapatkan rawatan di Hospital Nasr di Khan Yunis di selatan Gaza.
Abla Zaanoun, 5, yang melecur akibat serangan Israel mendapatkan rawatan di Hospital Nasr di Khan Yunis di selatan Gaza.

Bukan kejadian pertama

Rejim Zionis menggunakan alasan berdasarkan tuduhan tidak berasas untuk menghapuskan markas Hamas yang menyebabkan Hospital al-Shifa boleh kehilangan status dilindungi seperti ditetapkan di bawah undang-undang antarabangsa, sekali gus menjadikannya sebagai ‘sasaran sah’.

“Pihak yang melancarkan serangan tidak berhak untuk menghapuskan kompleks perubatan walaupun mereka mahu menyasarkan musuh.

"Ia perlu memberi amaran awal mengenai tindak balasnya dan melaksanakan prosedur pemindahan untuk pesakit dan staf perubatan.

“Sebagai alternatif, golongan yang terkesan konflik itu boleh meminta untuk ‘diasingkan’ di bahagian lain hospital berkenaan,” ujarnya sambil menambah pesakit masih memerlukan pengawasan doktor ketika operasi ketenteraan dilancarkan.

Pesakit yang menunggu di khemah di kawasan pekarangan al-Shifa terpaksa bergelap setelah kompleks itu terputus bekalan kuasa kerana kehabisan bahan api.
Pesakit yang menunggu di khemah di kawasan pekarangan al-Shifa terpaksa bergelap setelah kompleks itu terputus bekalan kuasa kerana kehabisan bahan api.

Pusat perubatan telah berulang kali menjadi sasaran ketika konflik dari Syria, Yemen ke Afghanistan dan Ukraine.

Pada Mac 2022, sekurang-kurangnya lima termasuk seorang ibu hamil terkorban dalam serangan udara dilancarkan Rusia ke atas wad bersalin dan hospital kanak-kanak di bandar selatan Mauripol di Ukraine.

Kiev menuduh Moscow melakukan jenayah perang, namun Kremlin mendakwa bangunan tersebut dijadikan sebagai tempat berlindung musuh daripada batalion Azov.

ICC turut melancarkan siasatan terhadap kes jenayah sepanjang konflik Rusia-Ukraine dan turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Vladimir Putin.

Adakah Israel juga bakal berdepan tindakan tegas yang sama walaupun ia bukan anggota ICC yang ditubuhkan pada 2002.

Siasatan seumpama itu tidak mustahil dilancarkan memandangkan tribunal jenayah perang tersebut dikatakan mempunyai bidang kuasa di Gaza dan Tebing Barat. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!