160 kali derma darah aferesis
KOTA BHARU - Mula menderma darah bagi menyelamatkan nyawa ibu kandung yang menjalani pembedahan akhirnya menjadikan seorang kakitangan kerajaan negeri ini sebagai penderma darah plasma atau aferesis tegar.
Azaha Omar, 57, menderma darah sejak lebih 20 tahun lalu dan sudah 160 kali menjadi penderma darah plasma di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).
Katanya, sudah tidak lagi gerun untuk melakukan pendermaan itu demi membantu dan menyelamatkan lebih banyak nyawa orang lain.
“Dulu memang takut lebih-lebih lagi umur pun sudah 30 tahun baru nak menderma, tetapi saya beranikan diri sebab memikirkan keselamatan ibu yang menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam perut.
“Sekarang, bila-bila masa sahaja saya sentiasa bersedia untuk menderma plasma apabila dipanggil oleh pihak hospital,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Khas sempena Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (USM)(1983-2023) di Kubang Kerian di sini, pada Ahad.
Turut sama menerima anugerah itu ialah dua pesara Hospital USM, Mat Hussin Yusoff, 58, yang menderma darah sebanyak 123 kali dan Muniyandi Perumal, 63, penderma darah rhesus negative.
Sijil disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga merasmikan sambutan ulang tahun hospital berkenaan.
Menurut Azaha, menderma darah plasma atau dipanggil penderma aferesis itu mengambil masa lebih dua jam untuk menjalani proses menderma darah tersebut melalui mesin khas di universiti berkenaan.
“Saya mempunyai darah jenis A dan plasma ini didermakan sebanyak dua bulan sekali atau mengikut keperluan pesakit di hospital.
“Setiap 450 ml (militer) darah plasma yang didermakan itu biasanya digunakan untuk menutup luka atau diberikan kepada pesakit leukemia,” ujarnya.
Bapa kepada tujuh anak itu berniat untuk terus berbakti kepada rakyat dan akan kekal menderma ke Unit Perubatan Transfusi (UPT) atau dipanggil tabung darah di universiti itu.
“Saya tidak mengharapkan jasanya disanjung, jauh sekali diberi anugerah atau pingat.
“Selagi tubuh badan sihat dan diberi kesempatan serta diizinkan Allah, saya akan terus membantu masyarakat melalui menderma darah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!